Sudah tiba masa DAP akui kesilapan, mohon maaf kepada rakyat Malaysia - MCA

Ti Lian Ker
Ti Lian Ker
A
A
A

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya DAP mengakui kesilapan mereka dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, ia susulan kenyataan pemimpin UMNO yang meminta parti itu menilai semula perjuangan Malaysian Malaysia.

Menurutnya, jika konsep itu selari dengan perjuangan Perikatan (1955) dan wawasan Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman maka DAP perlu menghuraikan konsep tersebut dalam konteks budaya, bangsa dan negara.

"Soalan saya adakah benar bahawa konsep Malaysian Malaysia atau konsep DAP mengenai Malaysian Malaysia ini yang menyumbang kepada ketegangan kaum hari ini?

"Ini dikatakan telah membangkitkan syak wasangka dan ketegangan di kalangan masyarakat Melayu, khususnya berkenaan janji-janji DAP untuk menghapuskan kuota dan hak istimewa Bumiputera," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Rabu lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika mempertahankan partinya bahawa pihak lain dalam kerajaan campuran perlu berubah jika mahu diterima oleh orang Melayu.

Ujarnya, majoriti pengundi Melayu Selangor dan Johor masih tidak boleh menerima dengan mudah cara politik DAP.

Mengulas lanjut, Lian Ker berkata, dengan pelbagai deklarasi yang pernah dibuat oleh parti berkenaan ia terbukti sekadar propaganda bagi menghasut sentimen kebencian terhadap Barisan Nasional (BN).

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, DAP telah membuat beberapa deklarasi yang berbeza bagi menghapuskan keistimewaan yang diberi kepada kaum Melayu dan Bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam, pemberian biasiswa awam, serta kemasukan ke institusi pendidikan awam selain pemberian lesen perdagangan.

"Sekiranya Malaysian Malaysia adalah selari dengan janji DAP untuk menghapuskan kuota Bumiputera dan mengembalikan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahawa rasmi maka sudah sampai masa untuk DAP mengakui kesilapan mereka kepada seluruh rakyat.

"Ini adalah isyarat paling mudah bagi DAP terhadap pemulihan sebuah Malaysian Malaysia yang bersatu dan harmoni merupakan impian seluruh rakyat Malaysia," katanya.