[VIDEO] Wanita dipenjara 12 bulan tipu urusan ambil anak angkat

A
A
A

SEREMBAN - Dua wanita dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat atas pertuduhan menipu seorang wanita bagi urusan mengambil anak angkat pada Julai lalu.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap G Gayathree, 32, dan Aliyah Begum Selvam, 30, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap bersama-sama telah menipu seorang wanita berusia 37 tahun untuk mendapatkan wang dengan menawarkan urusan pengambilan anak angkat.

Aliyah Begum (kiri) dan
Gayathree diiring polis ketika hadir di mahkamah pada Jumaat.
Aliyah Begum (kiri) dan Gayathree diiring polis ketika hadir di mahkamah pada Jumaat.

Tertuduh telah meminta wanita tersebut membuat bayaran sehingga tujuh kali transaksi sebanyak RM7,900 ke dalam akaun bank seorang wanita lain bagi tujuan berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan pada 15 Julai 2023 di sebuah rumah di Taman Ara Sendayan di Seremban.

Berikutan itu tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, sebat dan denda.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, kedua-dua tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), J Dasene merayu hukuman penjara minimum atas alasan mempunyai seorang anak dan perlu menanggung ibu yang sakit tua.

Katanya, mereka juga mempunyai masalah kesihatan dan mengaku sudah insaf atas perbuatan dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran terhadap tertuduh.