NFCorp, Mohamad Salleh berjaya dalam rayuan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamad Salleh Ismail dan dua anak syarikatnya hari ini berjaya dalam rayuan mereka berhubung saman terhadap Public Bank Berhad kerana melanggar kontrak melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.

Hakim Datuk S Nantha Balan, yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan berkata, hakim perbicaraan kes itu telah mengabaikan bukti penting sehingga memerlukan campur tangan di peringkat rayuan.

Panel hakim itu, yang turut dianggotai Datuk Azizah Nawawi dan Datuk P Ravinthran Balan, mengarahkan Public Bank membayar kos RM500,000.

"Bukti itu, khususnya keterangan Ketua Audit Siasatan bank itu Veronica Foo di hadapan panel siasatan dalaman bank tersebut dan pendirian bank berkenaan pertuduhan salah laku serius terhadap kerani bank itu, Johari Mohamed, adalah melanggar Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989.

"Oleh itu kami membenarkan rayuan atas liabiliti berkenaan dengan semua perayu,” katanya.

Bagaimanapun, hakim berkata, memandangkan perayu telah berjaya atas liabiliti tetapi gagal membuktikan ganti rugi, mahkamah memberikan award sejumlah RM10,000 sebagai ganti rugi nominal.

Semasa prosiding hari ini, NFCorp, Mohamad Salleh dan dua syarikat itu diwakili oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala peguam, Poh Choo Hoe mewakili Public Bank.

Dalam keputusan mahkamah, Nantha Balan berkata, hakim perbicaraan mengambil tindakan yang salah apabila menganggap nota prosiding (NOP) siasatan dalaman sebagai tidak relevan dengan isu dalam perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan berbuat demikian, hakim telah tersalah arah kerana NOP siasatan dalaman diperoleh oleh perayu-perayu selepas berusaha mendapatkannya.

"Isu kerelevanan nota prosiding siasatan dalaman adalah res judicata dan adalah salah bagi bank untuk membantah peguam perayu yang merujuk kepada NOP dan untuk hakim menolaknya sebagai tidak relevan," katanya.

Hakim itu berkata, perkara utama kes perayu di Mahkamah Tinggi ialah orang yang membocorkan maklumat sulit itu ialah Johari, yang pada bila-bila masa adalah seorang kerani di Public Bank cawangan Jinjang dan diminta untuk mengurus perkara berkaitan kerja kredit

"Johari menggunakan peluang ini untuk masuk ke dalam IBM Mainframe bank dan memuat turun serta mencetak dokumen berkaitan perayu dan rakaman CCTV menunjukkan dia meletakkan dokumen yang dicetak itu dalam sampul surat sebelum menyimpannya di dalam lacinya serta membawa bersamanya apabila dia meninggalkan pejabat pada 16 Februari 2012.

"Panel siasatan dalaman yakin Johari telah melakukan perbuatan salah laku dan mendapati dia bersalah atas pertuduhan tersebut," katanya.

Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi menolak saman NFCorp, Mohamad Salleh dan dua anak syarikat iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd dan Agroscience Industries Sdn Bhd terhadap bank itu.

Pada 22 Mei 2012, NFCorp, Mohamad Salleh dan dua anak syarikat memfailkan saman terhadap Public Bank atas pelanggaran kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.

Mereka mendakwa bank itu telah melanggar kerahsiaan dengan membenarkan butiran transaksi perbankan didedahkan oleh Naib Presiden PKR ketika itu Rafizi Ramli (kini menteri ekonomi).

Mereka juga mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka telah mengalami kerugian dan terjejas teruk yang tidak boleh diperbaiki akibat pelanggaran keselamatan di bawah BAFIA oleh bank itu. - Bernama