14 pasukan sertai Piala Agong 2023 bakal terima geran RM5,000

Fahmy
Fahmy
A
A
A

SEBANYAK 14 pasukan yang beraksi pada Kejohanan Ragbi Piala Agong 2023 mendapat suntikan dana untuk memberikan saingan hebat apabila masing-masing bakal menerima geran RM5,000.

Pengarah Pertandingan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Fahmy Jalil berkata, pemberian geran itu adalah tambahan kepada hadiah wang tunai berjumlah RM60,000 yang disediakan bagi penganjuran kejohanan tersebut bermula 23 September hingga 21 Oktober ini.

Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan geran tambahan RM2,000 kepada pasukan yang menjadi tuan rumah, dengan setiap pasukan berpeluang menjadi tuan rumah bagi satu aksi.

"Kejohanan kali ini akan bermula dengan aksi peringkat kumpulan yang diadakan secara liga sepusingan (round robin), dengan lima juara kumpulan dan tiga naib juara terbaik mara ke suku akhir," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Aksi suku akhir akan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 hingga 15 Oktober, manakala perlawanan separuh akhir pada 18 Oktober, penentuan tempat ketiga/keempat dan final pada 21 Oktober akan berlangsung di Stadium Ragbi Perak, Ipoh.

"Bagi tahun ini, KRM masih mengekalkan jumlah kuota pemain import, iaitu empat pemain boleh didaftarkan dalam senarai panjang 40 pemain dengan hanya tiga pemain dibenarkan beraksi dalam padang pada setiap perlawanan yang dijalankan," katanya.

Terdahulu, undian Piala Agong kali ini menyaksikan juara bertahan, Putrajaya diletakkan dalam Kumpulan A bersama Johor dan Kelantan, manakala naib juara, Terengganu berada dalam Kumpulan D bersama Negeri Sembilan dan Selangor.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima tentangan sengit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pahang dalam Kumpulan B, sementara bagi Kumpulan E, pasukan Sabah dan Sarawak akan membuat perhitungan bagi merebut satu tempat ke suku akhir.

Artikel Berkaitan:

Melaka, Kuala Lumpur dan Perlis pula diundi dalam Kumpulan C. - Bernama