Pas, UMNO akan bergabung PRU15

Abdul Hadi ketika berucap pada sambutan Badar Kubra Dan Nuzul Quran peringkat Pas Pusat di Kompleks Darulmakmur Kerdau Temerloh, semalam.
Abdul Hadi ketika berucap pada sambutan Badar Kubra Dan Nuzul Quran peringkat Pas Pusat di Kompleks Darulmakmur Kerdau Temerloh, semalam.
A
A
A

TEMERLOH - Pas dan UMNO akan bergabung menghadapi PH pada PRU15, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, gabungan dua parti itu bakal menawan Putrajaya daripada PH memandangkan Pas dan UMNO sudah bersih dari pemimpin korup.

Menurutnya, pembersihan itu dialami Pas dan UMNO selepas beberapa individu bermasalah telah keluar parti dan memasuki PH.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) kerana tolong ambil orang ini (bermasalah) masuk PH.

“Tinggal kita dalam parti...Pas kini dalam keadaan bersih dan UMNO juga dalam keadaan bersih.

“Alhamdulilah semua dalam keadaan baik, sebab itu usaha penyatuan Pas dan UMNO akan berlaku dengan baik.

"Insya-ALLAH Pas dan UMNO akan bergabung hadapi PRU ke-15 dan capai kemenangan," katanya dipetik dalam TV Makmur, semalam.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian yang hadir memeriahkan sambutan Badar Kubra Dan Nuzul Quran peringkat Pas Pusat di Kompleks Darulmakmur Kerdau Temerloh, semalam.
Sebahagian yang hadir memeriahkan sambutan Badar Kubra Dan Nuzul Quran peringkat Pas Pusat di Kompleks Darulmakmur Kerdau Temerloh, semalam.

Sebelum itu, kira-kira 2,000 ahli, pemimpin Pas negeri dan Pusat serta pemimpin UMNO hadir memeriahkan sambutan Badar Kubra Dan Nuzul Quran peringkat Pas Pusat di Kompleks Darulmakmur Kerdau Temerloh itu.

Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin serta penyokong kedua parti.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata lagi, isu kafir-mengkafir sudah berlaku sejak 1980-an apabila wujudnya individu-individu ekstrem di dalam Pas dan UMNO.

Jelasnya, kejadian itu telah menyebabkan berlaku perpecahan serius dalam masyarakat Melayu terutamnya di Pantai Timur.

“Perpecahan itu terjadi adalah kerana ada individu yang ekstrem dalam Pas dan UMNO.

“Antara individu yang dipersalahkan sehingga membawa kepada amalan takfiri itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibawa menyertai UMNO oleh Dr Mahathir pada tahun 1982.

“Namun pergolakan yang berlaku tahun 1998 menyebabkan Anwar keluar daripada UMNO dan bergabung dengan Pas tetapi turut menimbulkan masalah lagi,” katanya.