Bunuh bapa kerana sering dimarah

Mohamad Fakhrudin menunjukkan senjata yang digunakan oleh suspek.
Mohamad Fakhrudin menunjukkan senjata yang digunakan oleh suspek.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Tidak puas hati kerana seringkali dimarahi dan dihina disyaki antara motif seorang lelaki membunuh bapa sebelum mayatnya dibalut menggunakan langsir dan dibuang di tepi jalan di hadapan sebuah kondominium di Sungai Way di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa berusia 70-an itu selalu memberi tekanan terhadap suspek yang malas bekerja.

"Mangsa juga sering menegur suspek yang gemar minum air beralkohol," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini pada Selasa.

Mohamad Fakhrudin berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, suspek berusia 40-an itu disyaki mabuk telah bertindak memukul bapanya dengan menggunakan penyodok pasir sehingga menyebabkan kematian.

"Polis telah menerima maklumat daripada saudara mangsa bahawa telah menjumpai mayat lelaki warga emas itu di lokasi kejadian pada jam 2.15 pagi Sabtu," katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota polis dari IPD Petaling Jaya telah menahan suspek di Bandar Sunway di sini pada jam 9.10 pagi hari sama.

'Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes pecah amanah dan memiliki senjata berbahaya," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, polis turut merampas penyodok pasir dan sebuah kereta Perodua Kelisa yang disyaki digunakan suspek untuk membawa mangsa dan dibuang di tepi jalan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek telah direman tujuh hari bermula Ahad hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222," katanya.