Harapan menggunung terhadap Harimau Muda

Skuad Harimau Muda menggalas cabaran negara di Kejuaraan AFF 2023 di Thailand. - Foto: FAM
Skuad Harimau Muda menggalas cabaran negara di Kejuaraan AFF 2023 di Thailand. - Foto: FAM
A
A
A

TEKANAN terhadap skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara semakin tinggi berikutan kegagalan pada Kejuaraan B-23 AFF 2023 selepas menamatkan saingan di tempat keempat di Thailand.

Meskipun menyamai rekod terbaik Malaysia pada edisi sulung 2005, kedudukan keempat tetap tidak mampu menutup kegagalan mencapai sasaran ke final yang telah ditetapkan barisan pengurusan.

Ini merupakan kali kedua Harimau Muda gagal mencapai sasaran tahun ini apabila misi ke final temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei lalu juga lebur selepas terkandas seawal peringkat kumpulan.

Situasi terkini meletakkan misi layak ke Piala Asia B-23 2024 yang menawarkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam bahaya menjelang pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand bulan depan dengan Malaysia diundi bersama pasukan tuan rumah, Bangladesh dan Filipina dalam Kumpulan H.

Persoalan yang timbul mengapa prestasi anak buah E Elavarasan jauh berbeza dengan skuad senior bimbingan Kim Pan Gon?.

Perbezaan itu mewujudkan kebimbangan memandangkan barisan pemain muda ini sebagai pelapis untuk meneruskan momentum kebangkitan skuad Harimau Malaya ketika ini.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pasukan B-23 adalah bayangan kepada pasukan senior seperti yang ditunjukkan Vietnam dan Thailand namun Malaysia tidak mengikuti jejak langkah yang sama.

"Skuad B-23 kita seolah-olah tidak mencerminkan pasukan senior, 'macam minyak dengan air'," katanya yang mengakui persiapan singkat dan ketiadaan barisan pemain utama antara faktor kegagalan pada Kejohanan B-23 AFF 2023, ketika dihubungi pada Isnin.

Selain keadaan pasukan dan persediaan yang ringkas, Pekan berpendapat faktor aspek kejurulatihan turut mempengaruhi prestasi di Thailand selepas skuad muda negara tampil dengan pendekatan taktikal yang dianggap sudah ketinggalan.

"Cara permainan tidak seperti mana yang dibawa Pan-gon, skuad B-23 masih lagi bermain cara permainan lama, banyak hantaran jauh. Saya rasa pencapaian separuh akhir sudah cukup baik kalau melihat kepada senarai pemain yang ada dan tempoh persediaan," katanya.

Bagi beliau berdasarkan realiti skuad B-23 berdepan laluan sukar untuk layak ke Piala Asia B-23 2024, apatah lagi meraih slot ke Paris 2024 jika melihat kepada tahap kesungguhan dalam memajukan pasukan muda negara itu dan perhatian yang diberikan dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Sementara itu, bekas pengendali skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berkata, Malaysia hanya akan menjadi pasukan pelengkap saingan pusingan kelayakan di Thailand jika tidak menyediakan pasukan terkuat untuk layak ke Piala Asia B-23 2024.

Menurutnya dengan edisi Piala Asia B-23 akan datang menawarkan slot ke Paris 2024, Malaysia tidak sepatutnya melepaskan peluang untuk cuba mencabar pasukan-pasukan gergasi lain sekali gus mencipta kejutan.

"Kita harus ada satu objektif apabila menyertai apa-apa kejohanan peringkat remaja, kalau kita setakat menyertai saya pun tak setuju...kalau tengok pada Kejohanan B-23 AFF Vietnam hantar kebanyakan pemain bawah 21 tahun, jadi bermakna mereka sudah mulakan persiapan untuk Piala Asia B-23 2027," katanya.

Kim Swee, yang membawa Malaysia merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2011, berkata pasukan muda negara sememangnya mempunyai kualiti layak ke Piala Asia B-23 selepas berjaya melakukan pada edisi 2018 dan 2022.

"Kita sudah buktikan pada dua edisi lalu, jadi kalau tak layak ke pusingan akhir kali ini (2024) sudah tentu kita harus lihat balik apa yang telah dilakukan," katanya yang membawa pasukan muda negara mara sehingga pusingan suku akhir Piala Asia B-23 2018. - Bernama