Farah Lee sertai Misi Untukmu Yaman bantu agih sumbangan

Norfarahin (dua dari kiri) bersama penduduk di Yemen
Norfarahin (dua dari kiri) bersama penduduk di Yemen
A
A
A

PERSONALITI media sosial dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee menyertai Misi Untukmu Yaman anjuran Serantau Muslim bagi mengagihkan sumbangan dan bantuan di kepada pelarian yang berlindung di Marib, Yemen.

Antara sumbangan yang diagihkan adalah bantuan makanan, bekalan air bersih, projek ekonomi masyarakat, klinik bergerak, sedekah daging, bangunan sekolah, tajaan guru dan bantuan alat kelengkapan sekolah.

Farah atau nama penuhnya, Norfarahin Romli, 31, berkata, orang ramai perlu menyokong kempen tersebut sebagai tanda kebersamaan kepada umat Islam Yemen yang sedang mengharungi cabaran penuh liku.

"Ramai yang mati bukan sahaja kerana peperangan tetapi kebuluran, penyakit berjangkit dan lain-lain masalah yang tak mampu dibendung.

“Saya mahu ambil keberkatan Yemen yang didoakan Rasulullah SAW, saya yakin setiap pengorbanan kita akan dinilai disisi Allah SWT," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Norfarahin (dua dari kiri) bersama anak-anak di Yemen
Norfarahin (dua dari kiri) bersama anak-anak di Yemen

Menurut bekas isteri kepada pengacara, Ally Iskandar itu, isu kemanusiaan di Yemen adalah yang terburuk di dalam dunia dan kenyataan tersebut telah dikeluarkan sendiri oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, Norfarahin turut mengajak orang ramai memberikan sokongan, doa dan sumbangan kepada Misi Untukmu Yaman yang masih lagi berlangsung ketika ini.

“Penduduk Yemen kini mengharapkan bantuan dan perhatian kita. Apa yang mereka alami sekarang adalah tanggungjawab kita

"Ayuh sama-sama bersama Farah Lee menyokong usaha Serantau Muslim untuk membantu rakyat yang sengsara di sana menerusi untukmuyaman.com," ujarnya.

Marib adalah sebuah wilayah yang telah dihuni oleh lebih dua juta pelarian, mereka datang dari wilayah lain dan terpaksa menjadi pelarian di dalam negara mereka sendiri.

Mereka memilih menjadi pelarian di Marib kerana ia adalah antara wilayah yang selamat untuk diduduki berbanding di lokasi lain di Yemen yang sentiasa berisiko untuk diserang dan diancam.