Bicara kes Trump cuba batalkan keputusan pilihan raya didengar mulai Isnin

Donald Trump. - Foto AFP
Donald Trump. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Perbicaraan akan datang kes bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berhubung dakwaan cuba membatalkan keputusan pilihan raya presiden 2020 dijadualkan di Washington pada Isnin, lapor Sputnik.

Kes dijadualkan pada 10 pagi EST di hadapan Hakim Daerah AS, Tanya Chutkan untuk menentukan tarikh perbicaraan.

Trump menyerah diri kepada pihak berkuasa di Georgia pada 24 Ogos ekoran pertuduhan keempat terhadapnya selepas didakwa antara lain terlibat dalam insiden di bangunan dewan perundangan AS, Capitol, memalsukan dokumen perniagaan dan pemilikan haram maklumat sulit.

Pada awal Ogos, Trump mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan berkaitan pilihan raya di mahkamah persekutuan di Washington.

Trump berhadapan satu tuduhan konspirasi untuk menipu Amerika Syarikat, pertuduhan konspirasi untuk menghalang prosiding rasmi, pertuduhan menghalang dan cuba menghalang prosiding rasmi serta pertuduhan konspirasi terhadap hak.

Pada 11 Ogos, Chutkan menolak permintaan pendakwa raya untuk mendapatkan perintah menghalang Trump daripada mendedahkan bukti dalam kes 6 Jan dengan berkata beliau sebaliknya akan mengeluarkan perintah perlindungan yang meliputi maklumat ‘sensitif’.

Sebelum mengeluarkan perintah itu, Chutkan menekankan bahawa beliau mahu menjauhkan politik daripada kes itu dan kempen politik Trump yang berterusan tidak akan mempengaruhi keputusannya.

Chutkin juga berkata walaupun Trump mempunyai hak First Amendment untuk kebebasan bersuara, hak itu tidak mutlak.

Awal bulan ini, pihak pendakwa meminta perbicaraan dimulakan pada Mac 2024 manakala peguam Trump telah meminta tarikh pada April 2026.

Trump yang menghadapi pertuduhan jenayah, meneruskan pencalonan presiden daripada Parti Republikan dalam kempen pilihan raya presiden 2024. - Bernama