'Menang Parlimen Pulai kukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan' - Suhaizan

Suhaizan ketika berucap pada ceramah Perpaduan Pulai di Nusa Bestari di sini pada malam Ahad.
Suhaizan ketika berucap pada ceramah Perpaduan Pulai di Nusa Bestari di sini pada malam Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September ini nanti akan mengukuhkan lagi kestabilan dan kekuatan Kerajaan Perpaduan.

Calon PH Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, disebabkan itu pengundi tidak boleh memandang ringan PRK tersebut sehingga membuatkan mereka tidak mahu keluar mengundi.

"Kita tidak mahu pengundi berfikiran bahawa tidak jadi masalah kalau tak keluar mengundi, sebabnya dulu PH menang dengan majoriti lebih 33,000 undi.

"Kita juga tidak mahu menang dengan majoriti yang kurang, nanti Pengerusi PN (Perikatan Nasional), Tan Sri Muhyiddin Yassin cakap (Perdana Menteri), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah hilang sokongan di Pulai sebab majoriti yang sedikit. Kita tak mahu dia mendabik dada seperti itu.

"Oleh itu, pengundi perlu laksana tanggungjawab dan menghadiahkan kemenangan yang meyakinkan pada 9 September ini supaya kerajaan Perpaduan kekal dengan kekuatan dua pertiga di Parlimen," katanya ketika berucap pada ceramah Perpaduan Pulai di Nusa Bestari di sini pada malam Ahad.

Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Dalam pada itu, Suhaizan yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub mahu meneruskan legasi bekas Ahli Parlimen Pulai itu yang meninggal dunia pada pada 23 Julai lalu.

"Beliau pernah berpesan kepada saya untuk menyantuni pengundi di kawasan Parlimen Pulai, saya akan pegang kata-kata itu dan meneruskan kerja bakti yang ditinggalkan Allahyarham.

"Saya berharap pengundi di sini dapat merealisasikan hasrat itu, jangan pernah rasa penat nak keluar mengundi dan perlu memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan ini menjadi lebih stabil," katanya.

Pandangan sama turut disuarakan oleh Wee Tse yang berkongsi pentas dengan Suhaizan apabila menyeru pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

"Kita perlu memberi isyarat kepada pembangkang bahawa kerjasama PH-BN yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini amat diyakini dengan kemenangan pada PRK ini.

"Oleh itu, pengundi sekalian jangan ambil mudah dan memikirkan bahawa kalau tak keluar mengundi pun, parti tetap akan menang, kita perlu terjemahkan sokongan pada kerajaan pada hari ini," ujarnya.