Harimau Muda akan bangkit - Ubaidullah

Ubaidullah (depan) percaya skuad muda negara akan bangkit lebih kuat pada pusingan Kelayakan Piala Asia di Thailand awal bulan depan. - Foto: FB FAM
Ubaidullah (depan) percaya skuad muda negara akan bangkit lebih kuat pada pusingan Kelayakan Piala Asia di Thailand awal bulan depan. - Foto: FB FAM
A
A
A

KAPTEN skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili optimis pasukan muda negara akan bangkit lebih kuat pada pusingan Kelayakan Piala Asia awal bulan depan.

Enggan berbekas dengan rasa kecewa pada aksi Piala AFF B-23 yang berakhir pada Ahad, Ubaidullah percaya skuad Harimau Muda bakal melalui proses perubahan dalam pasukan menerusi gabungan pemain baharu dan lama yang lebih mantap.

Pemain berusia 19 tahun itu yakin kombinasi itu kelak berupaya melakar keputusan lebih baik pada pusingan kelayakan di Thailand berbanding kejohanan sebelum ini.

“Bagi kejohanan seterusnya (pusingan kelayakan Piala Asia B-23), barisan kejurulatihan akan memilih bukan sahaja pemain baharu tetapi juga pemain lama.

“Jika itu dapat disatukan, ia mampu jadikan kita pasukan yang lebih bagus dan membantu kita memberi tentangan lebih kuat selepas ini,” kata Ubaidullah melalui laman rasmi Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada Sabtu.

Skuad bimbingan E Elavarasan menoktahkan kempen Piala AFF 2023 dengan khabar duka apabila tewas kepada Thailand 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi perebutan tempat ketiga di Stadium Rayong, Thailand.

Keputusan tersebut mengulangi pencapaian pada 2005 apabila skuad negara turut tewas menerusi penentuan penalti kepada Myanmar dalam perebutan tempat ketiga.

Mengulas lanjut aksi penentuan tempat ketiga itu, Ubaidullah memberitahu, rakan sepasukan sudah beraksi bermati-matian untuk negara sehingga ke penentuan sepakan penalti.

“Kita melakukan dengan baik dalam semua aksi. Memberi tentangan kepada Thailand sehingga tamat perlawanan.

“Walaupun tak dapat tempat ketiga tetapi kita berjaya mengheret perlawanan sehingga ke sepakan penalti,” katanya.