Jalinan agensi kerajaan, swasta bantu tingkat pendapatan rakyat, negara - TPM

Ahmad Zahid menandatangani plak perasmian pada Perasmian Projek Biogas Kilang Sawit Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Ulu Keratong hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid menandatangani plak perasmian pada Perasmian Projek Biogas Kilang Sawit Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Ulu Keratong hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ROMPIN - Agensi kerajaan perlu mewujudkan jalinan kerjasama serta perkongsian pintar dan memberi peluang kepada pihak swasta dalam pelaksanaan pelbagai bidang yang dapat membantu meningkatkan pendapatan rakyat dan negara amnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai contoh, kerjasama itu boleh dilakukan oleh agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi usahasama di kawasan tanah yang kurang dimanfaatkan penggunaannya.

"Kita tidak lagi boleh berfikir atau bergerak secara silo, tetapi perlu bekerja dan menjalin hubung kait serta mesra perniagaan kepada swasta. Jangan khuatir kepada mereka. Beri peluang dan akhirnya, mereka akan menyumbang kepada kerajaan dalam bentuk cukai korporat dan turut membantu pertumbuhan ekonomi.

"Ini seterusnya membawa limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada penduduk, khususnya di luar bandar. Ini adalah satu kemenangan bersama kepada semua pihak terlibat," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Projek Biogas Kilang Sawit Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Loji Biogas Ulu Keratong di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun, Pengerusi Risda, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pengarah Risda, Datuk Abdullah Zainal.

Sebagai contoh kerjasama, Ahmad Zahid merujuk kepada usahasama antara Risda dengan Alliance Concord Green Sdn Bhd (ACG) membangunkan projek biogas yang boleh beroperasi secara optimum selama 21 tahun, yang dapat mendatangkan keberhasilan 11 peratus daripada jualan tenaga elektrik yang boleh diagihkan sebagai dividen.

Kerjasama itu dijangka menjana sekitar 14.8 juta kilowat-jam (kWj) tenaga boleh diperbaharui setiap tahun yang membantu menjana kestabilan tenaga elektrik kepada 3,000 keluarga luar bandar untuk kehidupan lebih selesa dan membuka peluang kepada usahawan kecil memajukan perniagaan.

"Pembangunan projek ini melalui proses rawatan sisa perahan minyak kelapa sawit akan menjana kelestarian alam sekitar dengan pengurangan sekitar 72,000 tan karbon dioksida setahun," katanya dan menambah ia memberi impak positif kepada pekebun kecil sawit di bawah agensi tersebut.

Komuniti setempat pula, menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, bakal menikmati peluang peluang pekerjaan khususnya kepada golongan muda dengan kemahiran khusus dan bersifat jangka panjang.

Sementara itu, Risda menerusi kenyataan medianya berkata, projek itu adalah langkah strategik bagi menangani masalah pembuangan sisa sawit yang menimbulkan kesan negatif kepada alam sekitar, selain mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan bakar semula jadi.

Projek yang sejajar dengan inisiatif pembangunan KKDW 'Waste to Wealth' juga berperanan dalam mencapai matlamat negara 40 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035 selain mencapai status rendah karbon menjelang tahun 2040.

"Projek ini bakal membuka peluang kolaborasi bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui institusi pengajian tempatan dan peluang dalam penerokaan serta perkembangan teknologi hijau yang membawa manfaat lebih besar kepada pembangunan luar bandar," menurut kenyataan itu. - Bernama