'Satu mata yang sangat berharga' - Nafuzi

Ifedayo menjaringkan gol pertama bagi membangkitkan semangat KDA FC untuk memberikan saingan kepada JDT di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu. FOTO KDA FC
Ifedayo menjaringkan gol pertama bagi membangkitkan semangat KDA FC untuk memberikan saingan kepada JDT di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu. FOTO KDA FC
A
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain berharap momentum pasukannya bangkit mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-3 di Stadium Darul Aman dapat diteruskan sehingga tamat baiki saingan Liga Super 2023.

Menurutnya, kualiti permainan yang ditonjolkan Sang Kenari ketika melakar kejutan ke atas pendahulu liga super itu perlu dikekalkan jika mahu melihat KDA FC terus kekal bersaing di kelompok atasan liga.

"Terima kasih kepada pemain, satu mata yang sangat berharga berbanding gagal memperolehi sebarang mata.

"Daripada segi persiapan memang seperti biasa tapi apabila berdepan pasukan berkualiti, mental Dan fizikal pemain secara automatik akan lebih bersedia. Malam ini satu level yang lebih baik dan paling penting menarik untuk ditonton oleh penyokong," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu.

KDA FC muncul pasukan pertama yang berjaya mengikat JDT 3-3 sekali gus menyekat hasrat pelawat memburu kemenangan ke-21 berturut-turut Harimau Selatan dalam liga super musim ini.

Keputusan itu juga menyaksikan Sang Kenari kekal di tangga ketiga liga dengan 44 mata iaitu lima mata dibelakang Selangor FC tetapi dengan kelebihan satu perlawanan.

Ujar Nafuzi, pasukannya berjaya mempamerkan rentak permainan yang dimahukan oleh beliau malah mampu memberikan segala-galanya apabila berdepan bakal juara Liga Super kali ke-10 berturut-turut.

“Apa yang pemain tunjuk pada perlawanan malam ini adalah gambaran sebenar corak permainan yang sepatutnya kita main, percaya dengan taktikal dan pendekatan yang kita nak walaupun bertemu dengan mana-mana pasukan.

"Pada malam ini keyakinan setiap pemain cukup tinggi dan tempoh perlawanan 90 minit menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan intensiti tinggi,” katanya lagi.

Jelas beliau, walaubagaimanapun pasukannya tidak boleh terlalu gembira selain selesa dengan keputusan tersebut kerana masih perlu mendapatkan sebeberapa banyak mata pada baki perlawanan liga super musim ini.