Ketabahan 10 OKU tawan Bukit Panau

Kumpulan pendaki bergambar kenangan di atas puncak Bukit Panau.
Kumpulan pendaki bergambar kenangan di atas puncak Bukit Panau.
A
A
A

TANAH MERAH - [DIKEMAS KINI] Ketabahan 10 orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menawan puncak Bukit Panau setinggi lebih 255 meter melalui Program Kembara Merdeka 2023.

Pendakian keseluruhan yang mengambil masa kira-kira tiga jam itu dibantu seramai 22 sukarelawan daripada Persatuan Pengakap Tanah Merah.

Penyelaras Belia Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nor berkata, pendakian bertujuan membuka minda masyarakat serta menunjukkan semangat kemerdekaan.

"Bagaimanapun, kami lebih menitikberatkan kesihatan fizikal dan mental bagi membolehkan aktiviti ini diteruskan tanpa sebarang masalah," katanya kepada pemberita selepas program itu.

Mohd Firdaus memberitahu, mereka bersyukur kerana mendapat kerjasama sepenuhnya daripada sukarelawan pengakap yang memandu arah dan memberi sokongan mental sepanjang pendakian.

Jelas beliau, bantuan itu juga dapat merealisasikan hasrat kumpulan OKU itu yang mahu menganjurkan program pendakian di Bukit Panau.

Sukarelawan pengakap membantu peserta Kembara 2023 menawan Bukit Panau.
Sukarelawan pengakap membantu peserta Kembara 2023 menawan Bukit Panau.

"Kejayaan ini turut membawa mesej bahawa kekurangan kami bukan halangan untuk melakukan misi ini dan menyuntik semangat patriotik," katanya.

Bagi Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap negeri Kelantan, Mazly Shaari, bantuan mereka diharap dapat memberi pengalaman baharu kepada OKU terbabit dalam aktiviti mencabar itu.

Menurut beliau, mereka perlu cekap memberi arahan dan memegang fizikal bagi mengelakkan kecederaan atau luka akibat halangan di sepanjang pendakian.

"Kesemua mereka berjaya melepasi semua halangan sepanjang perjalanan dan gembira dengan pendakian ini," katanya.

Sementara itu, peserta Kembara Merdeka 2023, Alif Haikal Faisal, 26, mengakui teruja kerana dapat menyertai misi mendaki Bukit Panau bersama rakan-rakan lain.

Anak sulung daripada tiga beradik yang mengalami kecacatan buta sejak lahir itu mahu mencabar diri melalui pendakian itu

"Aktiviti ini merupakan penyertaan kali pertama saya bertujuan mencabar diri kerana di rumah saya boleh berdikari sendiri," katanya.