Sanjung Sanusi tanda taasub ekstrem tahap dewa - Puad Zarkashi

Kenyataan Puad Zarkashi di Facebook pada Sabtu.
Kenyataan Puad Zarkashi di Facebook pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sanjung Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai panglima perang adalah tanda taasub ekstrem tahap dewa.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu tetap disanjung meskipun berlaku kes kecurian nadir bumi di Kedah.

“Adakah Sanusi tokoh hebat? Bolehkah tokoh lepuk kepala orang dengan kertas?

“Dia disanjung sebagai panglima perang walaupun nadir bumi dicuri. Itulah taksub ekstrem tahap dewa.

“Sebenarnya Malaysia berhadapan dengan politik ketaasuban ekstrem. UMNO mangsa wabak ini,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau mengulas kajian Ilham Centre mencadangkan 10 langkah untuk merawat semula UMNO yang mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

Menurut Felo penyelidik pusat kajian itu, Mujibu Abd Muis, langkah utama perlu dilakukan adalah dengan menyelesaikan masalah ketokohan yang menghimpit UMNO.

Jelas Mohd Puad, UMNO tidak menafikan semakin hilang sokongan rakyat dan orang Melayu kerana parti itu sedar serta akur mengenai situasi tersebut.

“Tidak timbul soal sindrom penafian. Tetapi ada beberapa pihak termasuk Ilham Center hanya fokus kepada alasan tertentu dalam buat analisis.

“Fokus mereka ialah Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) mesti letak jawatan. UMNO perlu tokoh baru.

“Tetapi Ilham Center tidak berani komited, jika Zahid letak jawatan masalah akan selesai. Menurut Ilham, UMNO perlu perubahan total. Tidak pula dinyatakan perubahan apa?,” soalnya.

Kata beliau, bukan sahaja UMNO malah negara juga akan terancam selagi politik ketaasuban ekstrem tidak berubah.

Oleh kerana itu ujarnya, terdapat kelompongan dalam analisis Ilham Centre.

“Politik mundur iaitu pendakwah suka menghukum kembali mengusai pemikiran politik masyarakat Melayu. Ia merisaukan,” tambahnya.