Along rekrut 'keldai muda' RM50

Penguat kuasa MBSA menurunkan iklan haram berupa gegantung yang kebiasaannya diletakkan pada tiang lampu dan pokok. Gambar kecil: Sahrul Nizam
Penguat kuasa MBSA menurunkan iklan haram berupa gegantung yang kebiasaannya diletakkan pada tiang lampu dan pokok. Gambar kecil: Sahrul Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Mengupah remaja sebagai ‘keldai’ dengan bayaran RM50 untuk memasang iklan pinjaman wang secara haram.

Itu antara taktik syarikat pinjaman wang tidak berlesen atau along yang dikesan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila trend pemasangan iklan haram didapati semakin meningkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 lalu.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Sahrul Nizam Ahmad berkata, tugasan menurunkan iklan haram itu merupakan antara aktiviti pihak berkuasa tempatan itu.

Sahrul Nizam - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Sahrul Nizam - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

Menurutnya, terdapat beberapa kawasan tumpuan iklan dipasang dan aktiviti itu aktif menjelang sambutan seperti Krismas, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri.

“Syarikat peminjam wang ini dipercayai mengupah remaja dengan bayaran serendah RM50 bergantung jumlah iklan yang dipasang dan kawasan terlibat.

“Berdasarkan soal siasat remaja yang pernah ditahan, mereka mendakwa tidak mengetahui siapa dalangnya dan hanya diberi upah untuk melakukan kerja terbabit.

“Kebiasaannya pemasangan iklan haram ini dilakukan sendirian atau dua orang dengan menaiki kereta,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian.

MBSA terpaksa mengeluarkan kos untuk pembersihan iklan haram.
MBSA terpaksa mengeluarkan kos untuk pembersihan iklan haram.

Beliau berkata, MBSA percaya upah yang diberi juga berbeza, bergantung kepada syarikat pinjaman wang yang terlibat.

Katanya, soal siasat awal juga mendapati pemasangan iklan haram aktif pada waktu tengah malam hingga awal pagi.

“Ada kita kesan di mana lokasi yang telah dibersihkan, dua hari kemudian dipasang semula dan kita percaya mereka ini anggap ia tidak merugikan.

“Sebab itu mereka berani upah lepasan sekolah yang mahu wang tambahan untuk buat kerja-kerja salah ini,” katanya.

Sahrul Nizam berkata, iklan haram kebiasaannya akan diletakkan di tiang lampu selain pada pokok milik penduduk dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita percaya iklan haram melibatkan pinjaman along ada unsur gangster,” katanya.

Penguat kuasa MBSA menurunkan iklan haram di lokasi-lokasi di bawah seliaan PBT itu.
Penguat kuasa MBSA menurunkan iklan haram di lokasi-lokasi di bawah seliaan PBT itu.

Beliau berkata, selain iklan along, MBSA turut mengesan hebahan berkaitan perumahan, produk perniagaan, penunjuk arah majlis perkahwinan dan tawaran perkhidmatan urut.

“Bila sebut rumah urut ini pasti timbul perspektif negatif kerana ia berselindung di sebalik nama tradisional dan refleksologi.

“Bagaimanapun di Shah Alam premis rumah urut sangat terkawal kerana kita bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam membanteras premis yang menjalankan perkhidmatan ini tanpa kelulusan, termasuk premis yang menawarkan aktiviti tidak bermoral.

“Di Shah Alam, iklan haram memang kebanyakannya berkaitan iklan along,” katanya.

Bagi tahun 2022, sebanyak 918 operasi dilaksanakan oleh MBSA dengan 31,912 iklan haram diturunkan.
Bagi tahun 2022, sebanyak 918 operasi dilaksanakan oleh MBSA dengan 31,912 iklan haram diturunkan.

MBSA turunkan 48,852 iklan haram, iklan along tertinggi

Mengulas mengenai lokasi tumpuan pemasangan iklan haram di Shah Alam, Sahrul Nizam menjelaskan, ia tertumpu di penempatan majoriti penduduk berpendapatan rendah dan sederhana selain kawasan kilang serta industri.

“Anggota penguat kuasa MBSA akan terus menjalankan operasi menurunkan iklan haram setiap hari. Sebelum laksana tugas lain, satu jam sekurang-kurangnya diperuntukkan untuk kita turunkan iklan mengikut kawasan,” katanya.

Beliau berkata, MBSA telah menurunkan 48,852 iklan haram sejak tahun lalu hingga tahun ini.

“Bagi tahun 2022, sebanyak 918 operasi dilaksanakan dengan 31,912 iklan haram ditanggalkan, manakala tahun ini bagi tempoh enam bulan bermula Januari, terdapat 512 operasi dengan 16,940 iklan haram ditanggalkan.

“Daripada jumlah paling banyak dikesan ialah iklan along iaitu bagi tahun 2020 ada 24,379 iklan, manakala tahun ini setakat Jun ada 11,783 iklan,” katanya.

Hebahan mengenai perumahan juga antara iklan yang dikesan dinaikkan secara haram.
Hebahan mengenai perumahan juga antara iklan yang dikesan dinaikkan secara haram.

Beliau mendedahkan, siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati nombor telefon yang dipaparkan di iklan terbabit menggunakan nama individu lain.

“Kita berpendapat, syarikat along ini menggunakan nombor kad pengenalan orang lain untuk didaftarkan pada nombor telefon terbabit bagi menyukarkan pihak berkuasa mengesan dalang,” katanya.

Sahrul Nizam berkata, banyak kesan negatif iklan haram iaitu risiko kemalangan jika ia tertanggal dan jatuh di atas jalan raya.

Malah ia turut menjejaskan kehidupan individu yang terpedaya tawaran along jika pinjaman gagal diselesaikan.

“Selain itu, imej MBSA juga akan buruk selain kita terpaksa mengeluarkan kos untuk pembersihan,” katanya.

No Image Caption

Menurutnya, MBSA akan melaksanakan operasi khas bersama polis dalam usaha banteras iklan haram.

Jelas beliau, MBSA amat mengalu-alukan aduan penduduk menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam Pihak Berkuasa Tempatan (SISPAA-PBT) dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).