Sumbat mayat dalam guni, seorang lagi akan dituduh Isnin ini

Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai kes pembunuhan mangsa sebelum mayatnya dijumpai dalam guni, 4 Ogos lalu.
Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai kes pembunuhan mangsa sebelum mayatnya dijumpai dalam guni, 4 Ogos lalu.
A
A
A

SERDANG - Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes kematian kerani kewangan yang mayatnya ditemui disumbat dalam guni plastik di sebuah premis stor buruk di Taman Bukit Serdang, di sini akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya, Isnin depan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, lelaki berusia 43 tahun itu telah diberkas polis pada Selasa lalu, kira-kira jam 2 pagi.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Ogos ini.

"Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan bersama-sama dengan tiga individu yang sudah dituduh sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan beberapa kesan pukulan objek tumpul di seluruh badan menjadi punca kematian kerani kewangan berkenaan sebelum mayatnya dijumpai pada 4 Ogos lalu.

Polis kemudian memberkas 13 individu termasuk tiga wanita di sekitar Lembah Klang pada 5 Ogos bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh lelaki warga India berusia 41 tahun itu yang bekerja di syarikat besi buruk berkenaan.

Tiga daripada 10 suspek lelaki berkenaan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, 16 Ogos lalu.