Penipu kes tambang e-hailing akhirnya diberkas

Laporan Sinar Harian pada 18 Ogos lalu.
Laporan Sinar Harian pada 18 Ogos lalu.
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki yang diburu sejak lebih seminggu lalu untuk siasatan kes cubaan tipu wang tambang bayaran khidmat e-hailing di daerah ini akhirnya diberkas, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 petang di Bandar Bukit Tinggi, Klang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

"Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau.

"Suspek warga tempatan itu telah direman empat hari sehingga Isnin untuk siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang diteruskan dan akan dilengkapkan dalam masa terdekat bagi tindakan pendakwaan.

Ujarnya, polis menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan yang patut agar tidak memberikan ruang dan peluang kepada penjenayah untuk melakukan kesalahan.

Pada 18 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan polis giat memburu suspek bagi membantu siasatan kes tipu wang tambang bayaran perkhidmatan e-hailing.

Kejadian itu turut tular di media sosial Facebook.

Laporan dibuat seorang pemandu e-hailing di Balai Polis Pandamaran pada jam 8.59 pagi, pada 16 Ogos di mana mangsa telah menerima pesanan untuk mengambil penumpang (suspek) di hadapan sebuah kedai serbaneka di Klang dan dihantar ke sebuah bank di Bandar Baru Sungai Buloh.

Mangsa yang sedar suspek pernah menggunakan perkhidmatannya sebelum ini bertindak membawanya ke balai polis sebelum suspek membuka pintu penumpang sebelah kiri dan terjun keluar melarikan diri.