Hakim Danish, Makaf dapat pengiktirafan SAM-100PLUS 2022

Hakim Danish bergelar juara keseluruhan perlumbaan ATC 2022. - Foto Agensi
Hakim Danish bergelar juara keseluruhan perlumbaan ATC 2022. - Foto Agensi
A
A
A

PERSATUAN Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) memilih pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli sebagai penerima anugerah Atlet Muda Terbaik pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2022 yang akan berlangsung pada 29 Ogos ini.

Naib Presiden SAM, Hazreen Mubarak berkata, prestasi konsisten dan kejayaan Muhammad Hakim atau lebih dikenali sebagai Hakim Danish bergelar juara keseluruhan saingan perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) 2022 menjadi faktor utama pelumba berusia 16 tahun itu dipilih sebagai penerima anugerah.

"Di usia masih muda, Hakim Danish mempunyai masa panjang untuk terus menyerlah sekali gus mengembalikan kegemilangan Malaysia dalam sukan permotoran dunia. Kami harap kecemerlangannya menjadi insipirasi kepada pelumba muda," katanya dalam kenyataan SAM pada Khamis.

Sementara itu, faktor kredibiliti kepimpinan, kejayaan yang diraih dan kegigihan mempertingkatkan mutu sukan karate menyaksikan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) sekali lagi diiktiraf sebagai Persatuan Sukan Dinamik selepas edisi 2014.

"Untuk tahun ini sememangnya Makaf sekali lagi layak menerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik berdasarkan pencapaian atlet serta pengurusan persatuan dan atlet yang baik. Di samping itu, atlet karate tak pernah hampakan kem negara dengan pencapaian membanggakan," kata Hazreen.

Selain dua anugerah itu, turut ditawarkan pada majlis anugerah gilang-gemilang itu adalah anugerah Pengulas Sukan Popular, Anugerah Tokoh Kepimpinan, Atlet Terbaik, Atlet Para Terbaik dan 100PLUS 'Out Do Yourself'.

Dalam pada itu, selain mengiktiraf atlet cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun lepas, turut dirai pada majlis anugerah tersebut adalah wartawan sukan yang berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.

Anugerah dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Artikel Berkaitan:

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori Kewartawanan Sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi. - Bernama