Hidup di Gaza tetap diteruskan

Sebuah keluarga Palestin di Rafah berbuka puasa bersebelahan rumah mereka yang musnah akibat pertempuran antara Hamas dan Israel.
Sebuah keluarga Palestin di Rafah berbuka puasa bersebelahan rumah mereka yang musnah akibat pertempuran antara Hamas dan Israel.
A
A
A

GAZA - Kehidupan seharian dilaporkan kembali normal buat penduduk di Gaza selepas pertempuran selama tiga hari minggu lalu yang menyaksikan sekurang-kurangnya 25 warga Palestin dan empat rakyat Israel terbunuh.

Rentetan perjanjian gencatan senjata antara Gaza dan rejim Israel yang berkuatkuasa Isnin lalu, kelihatan kedai mula dibuka, pelajar kembali ke sekolah dan penduduk melakukan rutin harian mereka semula.

Perjanjian yang diketuai Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) itu dimeterai selepas tentera rejim menggegar Semenanjung Gaza dengan serangan udara serta tembakan artileri dan dibalas bedilan ratusan roket oleh pejuang Gaza yang mengenai penempatan di selatan Israel.

Di sebalik ketenangan yang dirasai, luka penduduk yang kehilangan insan tersayang ketika pertempuran maut itu masih terasa dan kehidupan mereka sudah pasti berubah buat selamanya.

Keluarga al-Madhoun yang tinggal di utara Semenanjung Gaza sedang berehat ketika rumah mereka menjadi sasaran serangan udara rejim Israel pada Ahad lalu.

“Beberapa minit selepas saya keluar, letupan besar menggegar rumah kami.

Sekumpulan pelajar Palestin berdiri bersebelahan sebuah bangunan yang musnah akibat serangan udara Israel di Gaza. - Foto AFP
Sekumpulan pelajar Palestin berdiri bersebelahan sebuah bangunan yang musnah akibat serangan udara Israel di Gaza. - Foto AFP

“Saya berlari ke dalam rumah dan mendapati isteri saya Amani yang hamil sembilan bulan, terbaring kaku berlumuran darah di bawah runtuhan,” kata Ahmad al-Madhoun, 34, kepada al Jazeera.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad, dia turut kehilangan ayahnya, Akram berusia 65 tahun, adik lelaki berusia 21 tahun serta abang iparnya, Fadi Bardan dalam serangan terbabit.

Ahli keluarga yang cedera termasuk anak lelakinya Mahmoud berusia tiga tahun, anak perempuannya, Fatma berusia dua tahun serta tiga anak saudaranya.

Ahmad menambah, ketika serangan isterinya sedang menyediakan kelengkapan untuk anak dalam kandungan sementara anak-anak yang lain sedang bermain gembira dengan pelita Ramadan yang dibawa oleh datuk mereka.

Sementara itu, di kejiranan Sheikh Ziad di utara Gaza, serangan udara tentera rejim membunuh Ahmad al-Ghazali, 31, dan isterinya Eman, 30, serta anak perempuan bernama Maria yang baru berusia empat bulan.

“Saya masih tidak percaya mereka telah tiada, Ahmad dan keluarga telah merancang untuk menetap bersama kami sebelum serangan terjadi.

“Anak saya sekadar pekerja biasa yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan politik, mengapa dia harus menjadi mangsa.

“Kehilangan mereka sekeluarga terutama cucu perempuan saya amat dirasai,” kata ibu tua berusia 69 tahun itu. - Agensi