Melaka bantu kos penerbangan keluarga Ainul Mardhiah ke UK

Kerajaan Melaka bantu kos penerbangan keluarga Ainul Mardhiah ke UK. FOTO - FACEBOOK AHMAD SAFIUDDIN
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka akan membantu kos penerbangan dan pengangkutan keluarga bayi berusia 8 bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menderita kanser ‘Germ Cell Tumor’ di bahagian mulut, ke United Kingdom (UK).

Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri secara dasarnya bersetuju untuk membantu memudahkan urusan keluarga itu mendapatkan rawatan di luar negara.

“Kos pembedahan itu agak tinggi, buat masa ini kita akan berikan bantuan dari segi untuk beliau dan keluarganya ke luar negara, daripada kos penerbangan dan pengangkutan itu kita bantu,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah bantuan yang diberikan kerajaan negeri bagi membantu keluarga dari Ayer Molek di sini itu.

Bapa bayi itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, ketika dihubungi berkata beliau berserah kepada Allah dan memohon kepada semua pihak mendoakan anaknya sembuh seperti biasa.

Semalam, media melaporkan Ainul Mardhiah dijangka berlepas ke UK minggu hadapan, bagi menerima rawatan daripada doktor pakar di negara berkenaan.

Kes itu mendapat perhatian doktor pakar pelatih surgikal kelahiran Malaysia yang bertugas di hospital UK, Dr Nur Amalina Che Bakri yang menyatakan hasratnya untuk membantu dan cuba menghubungi beberapa kenalannya daripada pelbagai bidang kepakaran bagi membincangkan mengenai kes bayi itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Syed Ali bermalam dengan baby syurga

Amalina sudah hubungi ibu adik Ainul

Pakar di UK sedia rawat bayi hidap kanser 'Germ cell tumor '