Mesyuarat pengurusan bencana tekankan usaha mitigasi

Dr Wan Azizah
Dr Wan Azizah
A
A
A

PUTRAJAYA - Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat hari ini menekankan kepentingan untuk memberi lebih fokus kepada usaha-usaha mitigasi bagi mengelak atau mengurangkan impak bencana kerana ia lebih menjimatkan dan dapat mengurangkan kesusahan rakyat.

Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu dimaklumkan bahawa melalui pengalaman antarabangsa, kerajaan perlu berbelanja RM9.00 untuk menangani bencana berbanding RM1.00 jika mitigasi dibuat sebelum bencana.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sempena mesyuarat itu hari ini, mesyuarat turut melihat keperluan untuk mengkaji kesesuaian mewujudkan satu ‘Sinking Fund’ atau dana terikat bagi kes kebakaran berulang supaya pihak yang berkenaan juga bertanggungjawab dalam bencana tersebut.

"Ini perlu dilakukan bukan hanya bagi kes-kes kebakaran malahan kes-kes lain juga seperti kejadian pencemaran Sungai Kim Kim memandangkan operasi pemadaman atau pembersihan melibatkan kos yang tinggi,” kata agensi itu.

Antara Januari hingga 30 April tahun ini sahaja, kes kebakaran terbuka mencecah 16,700 kejadian, di mana 22.8 peratus atau 3,808 kejadian adalah kebakaran yang berulang di lokasi yang sama.

Kenyataan NADMA itu menyebut Dr Wan Azizah mengingatkan agensi berkaitan dan terlibat dalam operasi bencana kimia Sungai Kim Kim, Johor terutamanya Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya terus membuat pemantauan dan pembersihan lokasi pembuangan bahan kimia serta mengambil tindakan pembersihan/ pembuangan bahan tersebut dengan segera.

Mesyuarat turut dimaklumkan bahawa Monsun Timur Laut (MTL) 2018/2019 telah berakhir pada penghujung Mac lepas dan Malaysia mengalami banjir yang minimum berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Mesyuarat dimaklumkan sejumlah 11,036 mangsa daripada 3,128 keluarga terlibat dalam banjir itu di mana 133 pusat pemindahan dibuka dan sebanyak RM1.5 juta bantuan wang ihsan telah diberikan setakat ini, menurut NADMA.

Artikel Berkaitan:

Berbanding MTL 2017/2018, sejumlah RM9.9 juta wang ihsan telah diberikan kepada 19,881 keluarga, jelasnya.

Menurut NADMA, berdasarkan sampel kejadian banjir di enam negeri pada MTL 2018/2019, 96 peratus (108) daripada 112 kejadian banjir yang berlaku adalah banjir kilat yang kebanyakannya berpunca daripada masalah penyelenggaraan perparitan.

Dr Wan Azizah menggesa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil tindakan segera untuk pengelenggaraan perparitan.

Timbalan Perdana Menteri juga meminta kerajaan negeri serta agensi-agensi berkaitan supaya mengambil tindakan awal jika berlaku kemarau dan juga jerebu.

"Pelan jangka panjang perlu dibangunkan oleh kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan untuk mengelakkan masalah kekurangan air semasa musim kemarau memandangkan isu kekurangan air merupakan sesuatu yang berulang pada setiap tahun,” menurut kenyataan itu.

Dr Wan Azizah juga bersetuju dengan beberapa cadangan yang dibentangkan agensi itu antaranya mengenai penyaluran anggaran peruntukan sebelum bencana banjir kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk Bantuan Wang Ihsan. - Bernama