Firdaus Abdillah @pipiyapong dibebas dengan jamin polis

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil kader Mohd
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil kader Mohd
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penggiat media sosial Firdaus Abdillah Hamzah,36, yang ditahan semalam di atas kenyataan berbaur penghinaan kepada Tunku Mahkota Johor, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, tangkapan ke atas Firdaus Abdillah Hamzah atau @pipiyapong dibuat di Kuala Lipis, Pahang sekitar jam 11.15 pagi, semalam untuk siasatan posting berbaur penghinaan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

“Suspek telah diberikan jamin polis hari ini setelah tindakan polis terhadap suspek telah dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, pada 4 Mei lalu, laporan polis dibuat seorang lelaki awam berusia 37 tahun berkaitan satu posting oleh pemilik akaun twitter bernama Pipiyapong.

Katanya, posting tersebut didakwa mengandungi kenyataan-kenyataan yang berbaur penghinaan dan ditujukan kepada Tunku Mahkota Johor.

“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Firdaus Abdillah
Firdaus Abdillah

ARTIKEL BERKAITAN: Istana Johor tak pernah buat laporan polis

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Istana Johor memaklumkan tidak pernah membuat sebarang laporan polis sejak dahulu sehingga kini.

Perkara itu dinyatakan oleh Tunku Ismail menerusi akaun Twitter rasminya HRH Crown Prince of Johor di sini hari ini.

Difahamkan, perkara yang dinyatakan berkaitan penahanan seorang penggiat media sosial, Firdaus Abdillah Hamzah atau @Pipiyapong semalam, dipercayai tindakannya memuat naik status menghina Tunku Ismail di Twitter.

Tunku Ismail berkata, sekiranya ada laporan polis, ia berkemungkinan daripada pihak lain.

ARTIKEL BERKAITAN: PM kesal penggiat media sosial ditahan

Susulan penahanan terhadap Firdaus Abdillah itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kekesalan terhadap penahanan seorang penggiat media sosial, malam tadi.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak berkuasa telah membuat satu tangkapan terhadap seorang penggiat media sosial malam tadi. Seperti yang pernah saya tekankan sebelum ini, tidak ada mana-mana pemimpin di Malaysia yang bebas dari kritikan,” katanya di laman Twitter beliau, hari ini.

Perdana Menteri menegaskan rakyat bebas untuk mengkritik pemimpin jika perlu, dan kebebasan bersuara adalah penting dalam sesebuah (negara) demokrasi.

“Kecuali ugutan, fitnah, atau penghinaan terhadap raja-raja yang memerintah, mana-mana pemimpin boleh dikritik tanpa mengakibatkan terjejasnya hak rakyat untuk bersuara,” katanya.