MRL jangka pelaksanaan Pra-Q tarik minat tinggi

- Foto sumer internet
- Foto sumer internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjangka langkah penawaran prakelayakan (Pra-Q) bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menarik banyak minat daripada syarikat-syarikat kejuruteraan, infrastruktur dan pembinaan di seluruh negara.

Menurut MRL, iklan notis Pra-Q daripada kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC), China Communications Construction Company Ltd (CCCC) akan diterbitkan di akhbar harian utama pada 13 dan 14 Mei, 2019.

Langkah penawaran Pra-Q itu bertujuan memberi peluang kepada kontraktor warga Malaysia yang layak menyertai kerja-kerja sivil projek itu. Tawaran itu terbuka kepada semua kontraktor tempatan berpengalaman yang mempunyai Gred G3 hingga G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), dengan penarafan SCORE sekurang-kurangnya dua bintang.

MRL berkata dokumen Pra-Q itu mesti diserahkan ke kaunter CCCC di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 29 dan 30 Mei, 2019.

“Kami menyeru kontraktor tempatan yang layak di seluruh negara untuk berlibat secara aktif dalam penawaran Pra-Q -- persediaan awal kepada mereka sebelum terlibat dalam projek ECRL.

“Kontraktor tempatan mempunyai banyak peluang untuk memenuhi (bahagian) penyertaan tempatan bagi kerja-kerja sivil projek ECRL yang telah meningkat kepada 40 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini,” menurut MRL dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa Penilaian Pra-Q terdiri daripada pegawai kanan MRL dan CCCC yang akan menilai permohonan daripada kontraktor warga Malaysia semasa langkah penawaran Pra-Q untuk menyenarai pendek kontrak tempatan yang layak ke peringkat seterusnya sebagai penender berpotensi bagi pakej kerja sivil ECRL.

MRL berkata Jawatankuasa Penilaian Pra-Q itu perlu memastikan tadbir urus yang baik serta amalan beretika diamalkan dalam pra-kelayakan dan penilaian terhadap kontraktor tempatan, dan menurutnya hanya yang disenarai pendek akan dimaklumkan sebelum ke langkah selanjutnya sebagai penender berpotensi.

Artikel Berkaitan:

Pakej kerja sivil itu melibatkan kerja-kerja tanah, pembentukan, pembaikan tanah, asas, berstruktur, jalan dan bangunan secara subkontrak oleh CCCC kepada kontraktor yang layak di kawasan jaringan ECRL.

“Peningkatan penyertaan daripada kontraktor tempatan terhadap projek ECRL yang berskala besar, bernilai RM44 bilion itu menggalakkan sektor pembinaan dan bahan binaan tempatan, selain berpotensi sebagai kesen pengganda kepada ekonomi Malaysia.

MRL dan CCCC optimis bahawa, dengan gabungan pengetahuan dan kepakaran subkontraktor Malaysia yang berpengalaman dan membuahkan hasil, projek ECRL akan siap sepenuhnya seperti dijangka pada 31 Disember 2026.

MRL adalah syarikat bertujuan khas milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan merupakan projek dan pemilik ECRL.

Projek rel sejauh 640 kilometer itu menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya. - Bernama