Kembang perniagaan melalui aplikasi digital

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking ketika menyampaikan ucapan pada majlis "Grow with Google" hari ini. - Foto Bernama
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking ketika menyampaikan ucapan pada majlis "Grow with Google" hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking menyarankan usahawan di negeri ini supaya mengembangkan perniagaan menggunakan aplikasi digital untuk memperluaskan pasaran bagi produk masing-masing.

Beliau berkata para usahawan, khususnya dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah perlu memanfaatkan aplikasi percuma yang disediakan oleh Google menerusi inisiatif ekonomi digital yang berpotensi memajukan perniagaan PKS sehingga mampu mengaut keuntungan yang lebih besar

"Beberapa kejayaan ekonomi digital boleh dijadikan contoh untuk usahawan PKS tempatan untuk meneroka bidang baharu itu termasuk yang dilahirkan menerusi bimbingan aplikasi Google sendiri.

"Satu daripadanya ialah Exotic Borneo Treasures yang memasarkan produk perhiasan diri berasaskan manik yang dihasilkan wanita Rungus di Kudat. Pengusahanya, iaitu Gina Vun dan Noor Ali menggunakan aplikasi Google untuk membuat laman web dan menjual produk secara digital," katanya ketika melancarkan Program 'Grow With Google', di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Google Malaysia, Marc Woo berkata Google kini mengambil inisiatif untuk membantu meningkatkan kemahiran digital secara percuma menerusi program Grow With Google menggunakan beberapa aplikasi.

"Antara program disediakan ialah Mahir Digital Bersama Google yang menyediakan bengkel latihan fizikal secara percuma untuk membantu usahawan PKS di seluruh negara termasuk di Sabah.

"Google juga melancarkan aplikasi Primer bagi pengguna android dan iOS bagi membimbing sesiapa saja yang mahu mempelajari kemahiran perniagaan dan pemasaran digital. Versi bahasa Melayu juga akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata selain itu peniaga juga boleh menggunakan aplikasi Google My Business untuk mengurus kehadiran mereka dalam Google Search dan Map, termasuk membina laman web sendiri hanya dalam masa beberapa minit.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai tambahan Google turut menyediakan aplikasi Job Search bagi membantu pencari kerja dan majikan yang mahu mendapatkan pekerja dengan mudah melalui aplikasi dalam talian atau digital. - Bernama