KPKT sasar 3,000 banduan ada sijil kemahiran menjelang 2033

Akmal Nasrullah ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi Inisiatif Pensijilan Kemahiran Malaysia Bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Penjara Sungai Udang pada Selasa.
Akmal Nasrullah ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi Inisiatif Pensijilan Kemahiran Malaysia Bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Penjara Sungai Udang pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan 3,000 penghuni penjara memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam menjelang tahun 2033.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, program yang dinamakan Sinar Di Sebalik Tirai Besi Pensijilan Kemahiran Malaysia membabitkan kos sebanyak RM1.57 juta, akan melibatkan sebanyak 17 penjara bagi pelaksanaan latihan kemahiran tersebut.

Menurutnya, KPKT akan merancang untuk perluaskan kerjasama ini melibatkan penghuni-penghuni di Sekolah Henry Gurney dan pusat-pusat pemulihan akhlak di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Inisiatif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia itu juga diharap dapat membantu bekas-bekas penghuni penjara membina kehidupan baharu selepas menjalani tempoh pemulihan.

"Sijil kemahiran yang kita reka ini mempunyai beberapa tahap, tahap dua sebagai pekerja am dan boleh disambung kepada tahap tiga atau empat seterusnya menjadi penyelia dan peringkat pengurusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi Inisiatif Pensijilan Kemahiran Malaysia Bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Penjara Sungai Udang, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, apa yang diharapkan usaha ini mampu membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kira-kira 6,000 pekerja asing daripada keseluruhan 27,000 pekerja dalam sektor pembersihan awam di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, seramai 280 orang penghuni penjara di 17 Institusi Penjara di Semenanjung Malaysia telah terpilih menyertai program berkenaan yang pertama kali diadakan bermula tahun ini.

"Penghuni yang menyertai bermula 1 Jun lalu akan memperoleh elaun sebanyak RM500 sebulan sepanjang lapan bulan menyertai sijil kemahiran itu," katanya.