TSG sasar dua podium di Iran

Nasiruddin
Nasiruddin
A
A
A

PASUKAN berbasikal terbaik Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) menyasarkan sekurang-kurangnya dua podium pada perlumbaan Tour of Iran yang berstatus 2.1 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, kemenangan itu bagi memastikan pasukannya mengutip 70 mata dalam UCI sekali gus mengekalkan kejuaraan pada kejohanan tersebut.

"Pada Sabtu kita telah berjaya mendapat tempat pertama pada perlumbaan di Turki.

"Kita akan terbang ke Iran pada hujung minggu ini untuk Kejohanan Tour of Iran bagi persiapan akhir pasukan kita sebelum menyertai Le Tour de Langkawi.

"Reputasi baik. Kita tak pernah gagal lagi untuk dapatkan podium di Iran walaupun taraf kejohanan itu berstatus 2.1 dalam UCI dan ia agak tinggi," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nasiruddin berkata, persaingan dengan pasukan lain yang terlibat dalam kejohanan Tour of Iran juga agak tinggi namun tetap optimis untuk memenangi perlumbaan berkenaan.

"Pasukan yang datang pun pasukan agak kuat tapi kita sasarkan sekurang-kurangnya dua podium di Iran nanti," ujarnya.

Perlumbaan Tour of Iran iaitu Tour of Kondovan yang berstatus 1.2 manakala Tour of Iran Azarbaijan yang berstatus 2.1 bermula pada 26 Ogos hingga 31 Ogos depan.

Artikel Berkaitan:

Pasukan TSG yang menyertai perlumbaan itu terdiri daripada dua pelumba tempatan iaitu Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dan Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, manakala pelumba import pula ialah Youcef Reguigui, Metkel Eyob, Jambaljambts Sainbayar serta Anatolli Budiak.