Bekas wartawan lapor polis, nama dijadikan 'scam' minta wang

Mangsa memuat naik kenyataan di Facebook peribadinya, semalam, berhubung penipuan scam yang menggunakan namanya.
Mangsa memuat naik kenyataan di Facebook peribadinya, semalam, berhubung penipuan scam yang menggunakan namanya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas wartawan tampil membuat laporan polis selepas mendakwa namanya serta gambarnya digunakan oleh pihak tidak dikenali untuk memperdaya rakan bagi mendapatkan wang.

Mangsa berusia 43 tahun yang enggan dikenali berkata, dia menyedari perkara itu ketika sedang berbuka puasa di rumahnya semalam selepas dihubungi seorang rakannya.

"Kawan saya beritahu saya, betul ke saya ada minta sejumlah wang RM3,500. Terkejutlah saya bila dapat tahu benda itu, sedangkan saya tak pernah buat perkara macam itu.

"Kawan saya terus bagi beberapa gambar 'screenshot' menunjukkan pesanan WhatsApp nombor tidak dikenali yang menggunakan gambar profile saya yang mahu meminjam wang. Pesanan itu meminta wang dan kononnya akan membayar semula selepas solat tarawih, tapi bila rakan saya itu terus bertanya, suspek itu terus 'block' nombornya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Menurut penulis bebas itu lagi, mujur rakannya itu segera menghubunginya untuk bertanyakan lebih lanjut.

Katanya, susulan itu, dia terus bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 8 malam tadi.

"Malangnya, semasa laporan polis dibuat, seorang lagi rakan saya tiba-tiba menghubungi saya memberitahu dia telah memasukkan wang RM400 kepada saya. Setelah diteliti, suspek yang menggunakan nama saya ini memperdaya rakan saya dengan mengatakan kameranya rosak dan perlukan RM1,800, namun rakan saya hanya sempat memasukkan wang RM400 sahaja kepada suspek," katanya.

Tambahnya, setelah disemak, suspek ini menggunakan nombor telefon lain tetapi memaparkan gambarnya yang diperoleh di Facebook.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, malah senarai rakan yang diperdaya juga diperoleh di Facebook di mana mereka yang meletakkan paparan nombor telefon.

"Laporan polis telah saya buat malam tadi untuk memperjelas keadaan di mana terdapat individu yang menggunakan nama saya untuk menipu," katanya.