Lebih 2,000 kanak-kanak meriahkan Bintang Kecil Mini Fest

Kanak-kanak ceria menyertai aktiviti Bintang Kecil Merdeka X Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sempena Bintang Kecil Mini Fest 2023.
Kanak-kanak ceria menyertai aktiviti Bintang Kecil Merdeka X Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sempena Bintang Kecil Mini Fest 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Lebih 2,000 kanak-kanak dan ibu bapa memeriahkan program Bintang Kecil Mini Fest 2023 anjuran portal digital Bintang Kecil yang bernaung di bawah Nu Ideaktiv Sdn Bhd (Nu Ideaktiv).

Nu Ideaktiv menerusi satu kenyataan pada Isnin berkata, ia sekali gus mencipta seribu kegembiraan dan kenangan yang tidak akan dilupakan buat semua peserta seiring dengan sambutan bulan kemerdekaan negara.

"Program ini bertujuan menanam keyakinan diri dan kemahiran sosial kanak-kanak dengan menyediakan platform bagi mereka untuk berinteraksi dengan rakan sebaya dan melibatkan diri dalam aktiviti berkumpulan.

"Bintang Kecil Mini Fest juga menggalakkan kerjasama dan semangat berpasukan, menonjolkan bakat kemahiran yang penting untuk kejayaan pada masa depan," katanya.

Festival mini yang dikuasakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Karihome dan Plaza Shah Alam itu dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim pada program yang berlangsung di Plaza Masalam Sabtu lalu.

Syamil Fahim (berdiri depan, tengah) menyaksikan perarakan mega sempena program Bintang Kecil Mini Fest 2023.
Syamil Fahim (berdiri depan, tengah) menyaksikan perarakan mega sempena program Bintang Kecil Mini Fest 2023.

Hadir sama, Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad dan Pengarah Hal Ehwal Evergreen Venues Sdn Bhd, Datuk Seri Meer Habib.

Nu Ideaktiv menjelaskan, penyertaan ibu bapa dalam aktiviti bersama anak-anak akan dapat membina ikatan yang lebih kuat dengan anak-anak selain dapat melihat perkembangan sosial anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suasana meriah dan bertenaga turut dirasai oleh seisi keluarga dengan acara perarakan mega oleh pelbagai unit badan beruniform yang menampilkan 350 murid dari empat buah sekolah terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa, SK Bandar Anggerik, SK Seksyen 9 Shah Alam, dan SK Kepong.

Keletah kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam aktiviti Bintang Kecil Merdeka X Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sempena Bintang Kecil Mini Fest 2023.
Keletah kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam aktiviti Bintang Kecil Merdeka X Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sempena Bintang Kecil Mini Fest 2023.

Katanya, kesemua murid tersebut turut diiringi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk persembahan haka dan pertandingan Dewi Cilik.

"Angkasawan Negara turut berkongsi mengenai petua untuk berjaya di alam persekolahan dan kehidupan. Di dalam ucapan beliau yang penuh inspirasi, beliau menekankan kepentingan menetapkan matlamat yang jelas dan mengekalkan rasa tekad yang kuat.

"Selain itu, beliau turut berkongsi akan kepentingan mempunyai minda untuk berkembang maju, menerima cabaran dan mencari peluang untuk pembelajaran berterusan," ujarnya

Nu Ideaktiv menambah, kehadiran selebriti terkenal seperti Mark Adam, Yana Samsudin, Shaza Bae dan ramai lagi menambahkan lagi kehangatan dan tarikan program Bintang Kecil Mini Fest berkenaan.

"Pada akhirnya, program ini tidak hanya memberi faedah kepada individu yang terlibat tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan dan kesepaduan komuniti secara keseluruhannya," katanya.