Pas minta penjelasan jawatan menteri PH belum diwartakan

288472
288472
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menuntut jawapan segera daripada kerajaan berhubung isu jawatan ahli Kabinet yang belum diwartakan setelah genap setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah negara ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan Seksyen 2 Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969, setelah Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, kerajaan perlu mewartakan perintah baginda yang dinamakan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2019.

"Tarikh kuat kuasa perintah berkenaan juga perlu dinyatakan dengan jelas dalam warta tersebut.

"Pewartaan jawatan-jawatan ahli-ahli Kabinet amatlah penting dan perlu dibuat segera bagi mengesahkan fungsi-fungsi serta bidang tugas menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri yang dilantik tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin turut menzahirkan rasa terkejutnya dengan kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkaitan perkara itu sebelum ini. Terdahulu Vui Keong dipetik sebagai berkata, Ketua Setiausaha Negara sudah memberi lampu hijau kepada perintah fungsi-fungsi kementerian. Beliau yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan undang-undang memberitahu kerajaan sudah membincangkan isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tindakan mewartakan pelantikan ini tidak sewajarnya dianggap remeh oleh kerajaan kerana ia akan melibatkan keabsahan tugas-tugas ahli-ahli Kabinet berkenaan dan kesan terhadap kuasa-kuasa yang telah digunakan oleh mereka.

"Dengan ini Pas menuntut agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan undang-undang, Ketua Setiausaha Negara yang sepatutnya membuat pewartaan ini serta Peguam Negara yang sepatutnya menyiarkan Warta ini memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat tentang perkara ini," katanya.

Tambahnya, jika pihak berkenaan gagal memberikan penjelasan yang memuaskan, Pas menuntut mereka mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan segera meletakkan jawatan masing-masing.

Artikel Berkaitan: