PRK: BN-PH Johor yakin pembangkang tiada isu untuk dimainkan

Mohd Hairi Mad Shah. - Foto Bernama
Mohd Hairi Mad Shah. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - BN dan Pakatan Harapan (PH) dijangka tidak berdepan isu negeri yang serius bakal dimainkan pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Md Shah berkata, ini kerana banyak masalah di peringkat negeri sudah dan sedang diselesaikan di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau yakin, pelaburan yang berjaya dibawa masuk juga akan menguatkan lagi kepercayaan pengundi sekali gus menjadi faktor untuk mendorong mereka memilih calon Kerajaan Perpaduan dalam dua PRK berkenaan.

"Kita belum pasti lagi isu apa yang akan dimainkan mereka tetapi rakyat terutama pengundi di negeri ini sudah matang untuk menilai dan memilih.

"Rakyat boleh melihat apa yang kerajaan negeri sudah lakukan. Perlu diingat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu seiring bagi meneruskan lagi kemajuan sedia ada di Johor," ujar beliau.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri itu berkata demikian kepada pemberita dalam Program Southern Volunteers PrihatinJohor Future 2023 DUN Larkin di Kampung Kurnia di sini pada Ahad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor pada 9 September ini.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

PRK dua kerusi itu diadakan kerana berlaku kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Hairi berkata, bagi memastikan penerangan dan mesej BN-PH sampai kepada pengundi, pemuda daripada dua gabungan politik tersebut sudah mengadakan mesyuarat pada Sabtu.

Jelasnya, mesyuarat tersebut membincangkan beberapa isu serius, merangka strategi serta menentukan gerak kerja mendekati pengundi muda termasuk menganjurkan program belia dan sukan.

"Pemuda BN dan PH akan bekerjasama dalam setiap program dan aktiviti dilakukan nanti," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu.

Mengenai program berkenaan, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1,500 untuk setiap rumah daripada keluarga kurang berkemampuan di semua 56 kawasan DUN di Johor.

"Di Larkin lima buah rumah sudah dipilih membabitkan peruntukan RM7,500 keseluruhannya. Ini dibelanjakan mengikut keperluan antaranya untuk kos baik pulih, mengecat dan beli perkakas atau barang keperluan," katanya.