Abang Johari adakan lawatan ke tiga negara Eropah bermula Isnin

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengadakan lawatan kerja selama seminggu ke Sweden, Norway dan London bermula Isnin.

Menurut kenyataan daripada pejabatnya yang dikeluarkan lewat malam tadi, lawatan ke Sweden bertujuan menanda aras perundangan dan pelaksanaan ombudsman di negara itu.

"Sebelum ini, Premier telah memaklumkan hasrat kerajaan Sarawak untuk mengukuhkan peranan dan fungsi ombudsman melalui penggubalan Ordinan Ombudsman Sarawak dengan menjadikan Sweden sebagai model,” menurut kenyataan itu.

Sweden dipilih sebagai rakan penanda aras kerana negara itu terkenal dengan legasi yang kaya dan terhormat dalam menegakkan prinsip demokrasi, hak asasi manusia, ketelusan dan akauntabiliti.

"Institusi ombudsman (di Sweden) yang dipandang tinggi memainkan peranan penting dalam melindungi hak dan kepentingan rakyat, di samping menggalakkan tadbir urus yang baik dan pentadbiran awam yang berkesan sejak penubuhannya pada 1809,” menurut kenyataan itu.

Semasa lawatan itu, Abang Johari yang akan diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, akan mengadakan libat urus dengan pihak berkuasa tenaga dan pengendali kuasa di Sweden.

Sementara itu, lawatannya ke Norway pula adalah untuk mendapatkan maklumat tentang pembangunan dan operasi pengawalan dan penyimpanan karbon (CCS) dan kemudahan hidrogen di Bergen.

Abang Johari akan bertemu dengan pegawai Kementerian Petroleum dan Tenaga Norway serta mengadakan perbincangan dengan pemain industri berhubung inisiatif CCS, pelepasan sifar bersih dan penyahkarbonan.

Artikel Berkaitan:

Beliau kemudian akan berlepas ke London untuk mengakhiri lawatan selama seminggu dengan mengadakan pertemuan dengan pegawai atasan Shell di ibu pejabat syarikat multinasional berkenaan di ibu negara itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan beberapa pegawai tinggi kerajaan Sarawak dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menyertai beliau dalam lawatan itu. - Bernama.