Pembuat tasbih guna lebih 100 jenis kayu

Ahmad Lokman (kiri) menunjukkan tasbih daripada kayu yang dihasilkan di Pusat Herba dan Kraf Melawi, 1001 Rahsia Khazanah Rimba pada Jumaat.
Ahmad Lokman (kiri) menunjukkan tasbih daripada kayu yang dihasilkan di Pusat Herba dan Kraf Melawi, 1001 Rahsia Khazanah Rimba pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pembuat tasbih di Kampung Dusun Tok Deh, Pulau Kambing Pantai Melawi di sini memanfaatkan lebih 100 jenis kayu untuk penghasilan produk itu.

Ketika ditemui di Pusat Herba dan Kraf Melawi, 1001 Rahsia Khazanah Rimba di sini pada Jumaat, Ahmad Lokman Roslan, 36, dikelilingi pelbagai jenis kayu dan herba untuk diproses.

Ahmad Lokman mula membuat tasbih sejak 18 tahun lalu selepas membantu bapanya, Roslan Mamat, 65, menguruskan dan mencari pelbagai jenis kayu di hutan seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, pada awal pembuatan tasbih beliau hanya menggunakan kaedah manual iaitu membentuk kayu menggunakan mata pisau.

"Saya kemudian beralih kepada mesin khas kira-kira enam tahun lalu.

"Bagaimanapun peralatan itu diubahsuai dengan kos kira-kira RM5,000 untuk keseimbangan mata pisau supaya dapat menghasilkan bentuk bulat pelbagai saiz sesuai untuk dijadikan tasbih," katanya.

Ahmad Lokman (tengah) dan Roslan (kanan) meneliti buku senarai nama kayu untuk dicantumkan menjadi tasbih.
Ahmad Lokman (tengah) dan Roslan (kanan) meneliti buku senarai nama kayu untuk dicantumkan menjadi tasbih.

Menurut Ahmad Lokman, tasbih dihasilkan daripada teras kayu dan tidak semua jenis kayu mempunyai teras kukuh.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, antara teras kayu yang digunakan ialah daripada gemunggal, asam jawa, pancar delima dan cendana merah.

"Bapa saya yang dikenali sebagai Ayah Mi Sifu Herba banyak berkongsi ilmu serta pengalaman dalam mengenali dan memilih kayu sesuai untuk penghasilan tasbih," katanya.

Jelas beliau, bapanya seorang yang pakar dalam bidang itu dan sanggup masuk ke hutan untuk mencari kayu dalam tempoh agak lama bergantung kepada keadaan.

Anak ketiga daripada sembilan beradik itu memberitahu, tasbihnya mendapat sambutan menggalakkan di seluruh negara selepas diperkenalkan di pasar tani dan melalui jualan ekspo di seluruh negara.

"Kami juga sudah mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada ramai peniaga serta syarikat korporat," katanya.

Justeru Ahmad Lokman dan pembantunya, Mohd Azman Hanafi, 49, kini tidak menang tangan menyediakan tempahan dari seluruh negara.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan peminat tasbih yang dihasilkan daripada kayu tidak tertipu dengan produk tiruan kerana ada yang sanggup menjual untuk mengaut keuntungan.

"Biasanya, harga tasbih yang dijual bergantung pada keadaan kayu dan proses pembuatan. Ada yang berharga RM10 dan mencecah ribuan ringgit," katanya.