Tajikistan ganti Lubnan saingan Pestabola Merdeka

FAM mengumumkan Tajikistan akan menggantikan Lubnan di Pestabola Merdeka.
FAM mengumumkan Tajikistan akan menggantikan Lubnan di Pestabola Merdeka.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Lubnan telah menarik diri daripada menyertai saingan Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 13 hingga 17 Oktober depan.

Setiausaha Agung (FAM), Noor Azman Rahman berkata, Lubnan terpaksa menarik diri dengan alasan pasukan itu dan Palestin yang turut beraksi dalam Pestabola Merdeka telah diundi dalam kumpulan yang sama bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini.

Menurut Noor Azman, FAM telah mencari pengganti dan pasukan di ranking ke-110 dunia, Tajikistan bersedia menggantikan Lubnan dan mengesahkan penyertaan dalam saingan tersebut.

"FAM mengambil langkah proaktif dengan segera menghubungi beberapa pasukan baharu sebagai pengganti supaya perjalanan pertandingan tersebut yang telah ditetapkan untuk disertai oleh empat pasukan dengan dua hari perlawanan iaitu pada 13 dan 17 Oktober ini tidak terjejas.

"Sehari kemudian iaitu pada Selasa, 15 Ogos 2023, FAM telah berjaya mendapatkan pengesahan daripada Persekutuan Bola Sepak Tajikistan (TFF) untuk pasukan kebangsaan Tajikistan yang kini berada di ranking ke-110 dunia menggantikan slot yang ditinggalkan oleh pasukan Lebanon itu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, majlis undian Pestabola Merdeka yang berlangsung pada 8 Ogos lalu menyaksikan tuan rumah, Malaysia diundi bertemu India, manakala Palestin berdepan Lebanon untuk perlawanan pertama pada 13 Oktober.

Noor Azman turut menjelaskan perubahan pasukan itu tidak akan menjejaskan jadual perlawanan.

"Biarpun dengan perubahan terbaharu ini, susunan jadual perlawanan berdasarkan ketetapan majlis undian sebelum ini akan dikekalkan iaitu Malaysia bertemu India manakala Palestin kini akan menentang Tajikistan," katanya.

Artikel Berkaitan: