Masa depan sukan Labuan tidak menentu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Lebih 50 atlet dari Labuan hari ini menyatakan kekecewaan terhadap apa yang mereka anggap sebagai sikap acuh tak acuh pihak berkuasa sukan tempatan dan di peringkat persekutuan mengenai kemudahan sukan di pulau bebas cukai itu.

Mereka mendakwa tidak seperti atlet boling padang yang mempunyai Arena Antarabangsa Boling Padang, atlet karate, olahraga dan padang, silat serta renang perlu menjalani latihan di premis sewa di beberapa tempat.

Atlet berkenaan yang diketuai pengerusi Persatuan Akuatik Labuan, Chia Sia Theng mendedahkan bahawa perenang Labuan kini terpaksa menjalani latihan di kolam renang milik swasta yang dibayar secara harian, termasuk di Kelab Golf Labuan (LGC) dan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS).

"Semenjak kolam renang Kompleks Sukan Labuan ditutup pada 2014, perkembangan sukan renang semakin perlahan dan ini menghalang bakat tempatan untuk berkembang," katanya.

Chia berkata perenang Labuan telah meraih 276 pingat dalam 16 pertandingan dan kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa antara 2011 dan 2015.

"Kejayaan kami yang paling mengagumkan adalah semasa Kejohanan Renang Kumpulan Umur Tertutup Labuan Kelima yang diadakan di Miri pada Jun 2012 di mana kami merangkul 66 pingat emas, 57 perak dan 21 gangsa," katanya.

Chia percaya kolam renang sedia ada di Kompleks Sukan Labuan masih boleh digunakan dengan pembaikan utama.

"Tetapi, jika kerajaan memberi tanah, persatuan bersedia untuk membangunkan kolam renang untuk latihan atlet tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hal Ehwal Wanita (HAWA) Labuan Fauziah Datuk Mohd Din berkata beliau melawat trek olahraga di kompleks sukan selepas dilaporkan Bernama dan mengakui kemudahan sukan itu sudah 90 peratus rosak, dengan permukaan getah polimernya merekah, menjadikannya tidak selamat digunakan.

"Labuan adalah salah satu wilayah persekutuan bersama Kuala Lumpur dan Putrajaya. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai rancangan besar untuk Labuan apabila ia dijadikan sebuah wilayah persekutuan pada 1984.

"Bagaimanapun, kekurangan kemudahan sukan Labuan jelas menunjukkan pulau bebas cukai itu telah diabaikan," katanya.

Beliau berkata terdapat sebuah gelanggang tenis awam bersebelahan kolam renang bersaiz Olimpik yang rosak di kompleks itu, tetapi kurang penyelenggaraan menjadikannya berbahaya kepada pemain kerana permukaannya yang retak dan berlumut.

Beliau berkata pencapaian sukan Labuan yang paling penting adalah karate dengan beberapa atletnya bersinar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, terutamanya atlet junior.

"Mereka perlu menjalani latihan di tingkat atas sebuah bangunan dengan sewa bulanan yang tinggi, dan saya diberitahu kebanyakan atlet ini terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri jika mereka menyertai kejohanan di luar Labuan.

"Saya tidak yakin belia di Labuan akan berminat untuk menceburi sebarang bentuk sukan memandangkan keadaan kemudahan sukan pada masa kini," katanya.

Berikutan laporan itu, Bernama telah menerima balasan WhatsApp daripada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memberi jaminan bahawa kementeriannya akan menyusun semula belanjawan untuk menyelesaikan masalah kemudahan sukan tersebut.

"Saya telah mengarahkan bahagian pembangunan dalam kementerian saya untuk membetulkan perkara ini dengan serta-merta... ia sepatutnya tidak berlaku... terima kasih kepada anda kerana membangkitkannya (isu)... akan dikemas kini sebaik sahaja kami menyusun semula belanjawan," katanya. - Bernama