Bank Rakyat perkasa 800 usahawan asnaf tahun ini


Ewon menjangkakan seramai 800 usahawan asnaf akan menerima manfaat dana menerusi program RAKYATpreneur dan UNIpreneur 2023 ketika berucap di majlis perasmian di Menara Kembar Bank Rakyat pada Khamis.
Ewon menjangkakan seramai 800 usahawan asnaf akan menerima manfaat dana menerusi program RAKYATpreneur dan UNIpreneur 2023 ketika berucap di majlis perasmian di Menara Kembar Bank Rakyat pada Khamis.
A
A
A

BANK Rakyat meneruskan komitmennya memperkasa usahawan melalui program RAKYATpreneur dan UNIpreneur 2023 dengan peruntukan dana keseluruhan berjumlah RM3.5 juta untuk dimanfaatkan oleh 800 usahawan berpotensi daripada golongan asnaf bagi tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, kedua-dua program itu yang merupakan inisiatif kewangan sosial di bawah rangkaian program iTEKAD Bank Negara Malaysia mampu memberikan impak yang luas kepada usahawan asnaf.

"Saya percaya bahawa melalui penglibatan daripada institusi kewangan seperti Bank Rakyat, dapat membantu meningkatkan keupayaan usahawan asnaf dan golongan B40 dalam membentuk kedudukan kewangan yang lebih kukuh bagi menghadapi cabaran atau rintangan kewangan di luar jangkaan pada masa hadapan.

"Inisiatif ini bertepatan dengan agenda utama program hak asasi global, iaitu Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam usaha membasmi kemiskinan menjelang tahun 2030,” katanya dalam majlis perasmian program tersebut, di sini, pada Khamis.

Bank Rakyat merupakan sebuah agensi yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, beliau yakin program tersebut mampu menyediakan kehidupan yang lebih sejahtera kepada pada usahawan asnaf yang seterusnya membawa kepada pembentukan negara yang berprestij pada masa akan datang.

"Alhamdulillah, peserta program RAKYATpreneur bagi tahun lalu telah berjaya merekodkan hampir 60 peratus peningkatan kadar jualan, manakala usahawan siswa asnaf Bank Rakyat UNIpreneur mencatatkan peningkatan kadar jualan sebanyak 66 peratus sepanjang program tersebut berlangsung,” katanya pada majlis yang sama.

Program RAKYATpreneur 2023 melibatkan penyertaan seramai 300 orang peserta dari seluruh negara dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai rakan pelaksana.

Artikel Berkaitan:

Manakala program Bank Rakyat UNIpreneur merupakan gabungan usaha antara Bank Rakyat dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan, melibatkan penyertaan seramai 500 orang usahawan siswa asnaf dari 20 buah universiti terpilih.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman. - Bernama