Juruteknik lesap RM22,000 ditipu 'Inspektor Fazura'

Abdul Rahim
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang juruteknik kerugian RM22,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis, pada Sabtu lalu.

Menurut sumber, lelaki berusia 31 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

"Individu itu memberitahu mangsa terlibat kes kemalangan langgar lari dan perlu hadir ke Mahkamah di Perlis untuk perbicaraan sebelum talian itu disambungkan kepada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Zulkifli'.

"Seterusnya 'Sarjan Zulkifli' membuat pemeriksaan ke atas nombor kad pengenalan mangsa sebelum mendakwa namanya terlibat dengan aktiviti jenayah pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

"Talian tersebut disambungkan kepada seorang wanita perkenalkan diri 'Inspektor Fazura' dari cawangan Jenayah Komersial sebelum memaklumkan kes melibatkan mangsa boleh ditangguhkan dan boleh diikat jamin," katanya.

Sumber berkata, bagaimanapun sekiranya ingin berbuat demikian, mangsa perlu membuat pembayaran sebanyak RM25,000 dalam tempoh segera.

"Oleh kerana mangsa mahu menyelesaikan kes ini dengan cepat, tanpa berfikir panjang, mangsa terus membuat pembayaran RM19,000 ke dalam akaun bank diberikan pada hari sama.

"Keesokan harinya iaitu pada Ahad lalu, mangsa sekali lagi membuat transit sebanyak RM3,000 ke dalam akaun sama sebelum tersedar dirinya sudah ditipu," katanya.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada hari sama (Ahad) untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia