Lesap RM200,000 dalam dua minit

No Image Caption
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebuah kedai emas di Jalan Ibrahim dekat sini, mengalami kerugian kira-kira RM200,000 hanya dalam tempoh dua minit selepas disamun dua lelaki bersenjata, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 2.50 petang apabila salah seorang suspek yang memakai topi keledar dan bersenjatakan pistol serta tukul besi masuk ke premis tersebut.

"Semasa kejadian, terdapat empat pekerja termasuk pemilik kedai dan dua pelanggan berada dalam premis tersebut. Suspek yang masuk ke dalam kedai mengeluarkan tukul besi yang disimpan dalam beg galas sebelum memecahkan cermin kaunter pameran (emas).

"Pemilik bertindak mencucuk badan suspek menggunakan rotan dari ruang dalam kedai bagi mengusir suspek namun suspek terus mengambil barang kemas di kaunter pameran sebelum keluar dari kedai," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ketika melarikan diri, Adzli berkata suspek sempat melepaskan dua das tembakan ke arah pemilik kedai namun peluru tersebut terkena besi dalam premis berkenaan.

Suspek kemudian melarikan diri dengan seorang lagi rakannya yang menunggu di luar kedai dengan menaiki motosikal, katanya.

Beliau berkata, polis masih memburu penjenayah terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana samun dan melepaskan tembakan. - Bernama

Artikel Berkaitan: