Isu kebersihan, infrastruktur Pasar Siti Khadijah tumpuan Dr Hafidzah

Dr Hafidzah (dua dari kiri) bertemu peniaga di Pasar Siti Khadijah selepas memenangi kerusi DUN Kota Lama pada Sabtu.
Dr Hafidzah (dua dari kiri) bertemu peniaga di Pasar Siti Khadijah selepas memenangi kerusi DUN Kota Lama pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Infrastruktur di Pasar Siti Khadijah antara tumpuan utama wakil rakyat Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim selepas memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, Sabtu lalu.

Dr Hafidzah berkata, antara perkara penting yang disuarakan dalam pertemuan bersama peniaga ialah kemudahan untuk warga emas dan isu kebersihan.

"Saya mendengar luahan mereka terutama peniaga yang sudah lama mencari rezeki di sini. Ada yang mendakwa sukar menerima pelanggan selain kebersihan yang kurang memuaskan," katanya ketika sesi lawatan di Pasar Siti Khadijah pada Rabu.

Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan tidak pernah menganaktirikan Kelantan dengan menyediakan kemudahan kewangan untuk projek pembangunan termasuk tebatan banjir.

Dr Hafidzah (duduk, kiri) beramah mesra dengan peniaga Pasar Siti Khadijah ketika sesi lawatannya pada Rabu.
Dr Hafidzah (duduk, kiri) beramah mesra dengan peniaga Pasar Siti Khadijah ketika sesi lawatannya pada Rabu.

Justeru beliau berjanji akan cuba membantu memenuhi hasrat peniaga bagi meningkatkan ekonomi yang didakwa tidak memuaskan sebelum ini berikutan kekurangan pelanggan.

"Kita akan melihat keperluan yang relevan dengan peniaga terutama berusaha meningkatkan pelanggan di pasar yang menjadi mercu tanda Kelantan ini," katanya.

Keputusan PRN Kelantan menyaksikan Dr Hafidzah berjaya merampas kerusi DUN Kota Lama yang menjadi milik Pas dengan memperoleh 9,691 undi mengalahkan tiga lagi pencabar lain dengan majoriti tipis 202 undi.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Kota Bharu dan pada PRU sebelumnya pula kerusi DUN Tanjung Mas.