Lupakan perpecahan, tumpu tugas mentadbir negara - IDEAS

Dr Tricia Yeoh
Dr Tricia Yeoh
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa semua pihak untuk melupakan perpecahan yang berlaku di sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mengembalikan tumpuan mentadbir negara.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr Tricia Yeoh berkata, masih banyak 'kerja' yang perlu dilakukan terutama ke arah membawa kepada pembaharuan institusi, penggubalan dasar dan tadbir urus yang baik di negara ini.

Jelasnya, kerajaan dan pembangkang di peringkat Persekutuan serta negeri perlu memainkan peranan penting dalam memastikan tadbir urus yang betul bagi Malaysia dan negeri masing-masing.

“Kami menggesa semua pihak untuk kembali menumpukan kepada urusan pemerintahan. Paling penting, perlu ada kompromi, kerjasama dan sinergi antara kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar.

"Langkah ke hadapan untuk Persekutuan Malaysia yang sebenar adalah untuk semua negeri menerima bahagian peruntukan dan sumber mereka yang saksama, tanpa mengira gabungan yang mentadbir negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, tambahnya, IDEAS juga mengesyorkan agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dibentuk dan di institusikan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua negeri.

Katanya, penubuhan JPKP menambah satu lagi lapisan semak dan imbang, dan boleh menjadi platform untuk organisasi masyarakat sivil (CSO) dan pakar untuk memberikan input.

"Ini merupakan masa yang baik untuk kerajaan negeri menunjukkan kepimpinan dalam tadbir urus yang baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menyentuh mengenai perkembangan politik terkini negara, Tricia berkata, memandangkan sifat semasa politik Malaysia yang cair dan dinamik, semua parti politik harus melaksanakan reformasi institusi untuk meminimumkan kelebihan penyandang.

Jelasnya, ini tanpa mengambil kira mana-mana parti politik atau gabungan yang membentuk kerajaan, kerana wakil pembangkang harus dilayan secara saksama sebagaimana wakil kerajaan.

"IDEAS juga menggesa semua parti politik untuk komited dalam usaha meluluskan Akta Pendanaan Politik (PFA) bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pendanaan politik.

"Kami juga ingin melihat penggubalan Akta Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDFA) di peringkat negeri bagi memastikan pengagihan CDF yang telus dan saksama kepada semua pihak. Selain itu, kerajaan negeri juga harus komited kepada proses belanjawan yang lebih telus," katanya.

Tambahnya, keperluan yang lebih besar adalah untuk merapatkan jurang yang semakin meningkat antara kaum, agama, wilayah, kelas sosial, latar belakang ekonomi dan kepercayaan yang berbeza di Malaysia.

"Mengambil tindakan konkrit dalam hal ini adalah mencabar dan kompleks, tetapi mesti dilakukan oleh semua rakyat Malaysia. IDEAS tetap bersedia semampu boleh untuk menyumbang dalam apa jua cara," tegasnya.