Penjaga gol Liverpool berminat ke Arab Saudi

Becker (tengah) dikhabarkan berminat untuk berkelana ke Arab Saudi. - Foto AFP
Becker (tengah) dikhabarkan berminat untuk berkelana ke Arab Saudi. - Foto AFP
A
A
A

LIVERPOOL mungkin akan kehilangan penjaga gol utama, Alisson Becker yang dilaporkan berminat untuk berhijrah ke Arab Saudi menyertai kelab, Al-Nassr.

Penjaga gawang dari Brazil itu dikhabarkan teruja untuk menyertai rakan sepasukan The Reds, Jordan Henderson, Fabinho dan Roberto Firmino yang berkelana ke negara Teluk tersebut pada musim panas ini.

Al-Nassr dilaporkan kecewa dengan prestasi penjaga gol, Nawaf Al-Aqidi ketika kalah 1-2 kepada Al-Ettifaq - skuad bimbingan Steven Gerrard pada Isnin.

Al-Nassr sudah memiliki Sadio Mane yang merupakan bekas rakan sepasukan Becker pada musim 2016 hingga 2022 serta bintang sensasi, Cristiano Ronaldo.

Kehilangan penjaga gol utamanya itu sudah pasti meresahkan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp selepas kelab Arab Saudi telah berjaya mendapatkan khidmat Henderson dan Fabinho.

Liverpool sebelum ini melepaskan Firmino yang menyumbat hatrik ketika aksi sulungnya dalam saingan Liga Pro Saudi bersama Al-Ahli Jumaat lepas.

Jika Becker berhijrah, The Reds hanya memiliki Caoimhin Kelleher sebagai pengganti.

Becker membuat 232 penampilan sejak menyertai Liverpool dari Roma pada 2018 dengan yuran perpindahan 65 juta pound (RM383 juta).

Artikel Berkaitan: