Tak sabar nak tengok aksi abang bomba

Aksi abang bomba berjaya menarik perhatian orang ramai pada perarakan hari kemerdekaan tahun lalu sehingga tular di media sosial. - Gambar hiasan
Aksi abang bomba berjaya menarik perhatian orang ramai pada perarakan hari kemerdekaan tahun lalu sehingga tular di media sosial. - Gambar hiasan
A
A
A

TANGGAL 31 Ogos ini kita akan menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-66. Paling ditunggu-tunggu sudah tentulah mahu menyaksikan perarakan pasukan beruniform bersama aset pertahanan negara.

Merak Jalanan masih ingat kemeriahan sambutan tahun lalu dengan kehadiran lebih 70,000 pengunjung di Dataran Merdeka.

Sungguh di luar jangkaan, aksi abang bomba berjaya menarik perhatian orang ramai sehingga tular di media sosial.

Tahun ini kita akan meraikannya di Dataran Putrajaya. Kali ini kita lihat giliran siapa pula bakal mencuri tumpuan atau mungkinkah abang bomba masih mengekalkan status popular mereka?

Apa pun, sebenarnya setiap pasukan terlibat dalam perarakan mempunyai keistimewaan dan tarikan tersendiri.

Merak Jalanan memang tak sabar nak bawa ahli keluarga menyaksikan sambutan tersebut.

Anak-anak pasti seronok dapat menggayakan pakaian bercorak patriotik dan mengibarkan Jalur Gemilang.

Mungkin dengan pendedahan tersebut, timbul minat dalam diri mereka nak berkhidmat kepada negara, nak jadi polis atas askar suatu hari nanti.

Artikel Berkaitan:

Semoga generasi muda hari ini akan mengerti perjuangan nak dapatkan kemerdekaan negara, sekali gus menghargai jasa dan pengorbanan wira negara.

Satu lagi, Merak Jalanan suka lihat semua lapisan masyarakat tak kira bangsa dan agama sama-sama meraikan hari kemerdekaan negara. Sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang. Itulah uniknya perpaduan rakyat Malaysia yang hidup aman damai.

Merak Jalanan tahu kita baru sahaja habis berkempen dan mengundi parti masing-masing pada pilihan raya negeri.

Tapi pinggirkanlah seketika fahaman politik dan perbezaan pandangan itu kerana kita semua adalah sama. Kita semua adalah rakyat Malaysia.

Ayuh semua! Marilah kita tunjukkan semangat cintakan negara dengan penuh megah dan bangga!