ART bantu proses pembiakan Harimau Malaya

Abdul Kadir (kiri) ketika sidang selepas menyempurnakan seminar dan bengkel 'teknologi pembiakan terbantu (ART) di A'Famosa Resort di Alor Gajah di sini, pada Selasa.
Abdul Kadir (kiri) ketika sidang selepas menyempurnakan seminar dan bengkel 'teknologi pembiakan terbantu (ART) di A'Famosa Resort di Alor Gajah di sini, pada Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyasarkan untuk meningkatkan 400 ekor populasi Harimau Malaya di negara ini dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata, sasaran itu diyakini dapat dicapai termasuk menggunakan kaedah teknologi pembiakan terbantu (ART) dengan kolaborasi di antara Pertubuhan Taman Zoologi Thailand (ZPOT) bagi mempercepatkan proses pembiakan dijalankan.

Menurutnya, ia penting dilaksanakan selain pembiakan secara fizikal kerana setakat ini dianggarkan hanya terdapat kira-kira 150 ekor habitat yang semakin terancam itu berada di dalam hutan negara ini.

Malah katanya, kali terakhir direkodkan Harimau Malaya menambahkan pembiakan dengan kelahiran anak harimau di Zoo Taiping pada dua tahun lalu.

"Agak membimbangkan, jadi sesuatu perlu dilakukan untuk tambah pembiakan kerana Harimau Malaya merupakan khazanah negara.

"Kalau di hutan, makan cukup tak ada gangguan pemburuan, populasi akan naik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Seminar dan bengkel 'teknologi pembiakan terbantu (ART) di A'Famosa Resort di Alor Gajah di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pengarah ZPOT, Attapon Srihayrun dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat A'Famosa Resort, Datuk Alex Lau.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, selain pembiakan haiwan pupus itu pihaknya juga dalam usaha untuk menggunakan kaedah sama bagi pembiakan Rusa Sambar yang merupakan makanan utama kepada 'sang belang.'

"Ini antara tujuan bengkel dan seminar ini, jadi rakan-rakan daripada Thailand bawa pengalaman dan kepakaran mereka dan kita cuba gabungkan untuk tingkatkan populasi harimau.

"Seminar ini nak cari satu kaedah yang mana kita dapat mempercepatkan lagi teknik macam mana nak cepat harimau bunting dan dapat anak," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!