Pelajar B40 jangan cepat tolak peluang

Syaiful Rizal menyampaikan sumbangan tunai kepada Fatin Nur Aqilah di kediaman pelajar itu pada Isnin.
Syaiful Rizal menyampaikan sumbangan tunai kepada Fatin Nur Aqilah di kediaman pelajar itu pada Isnin.
A
A
A

KUALA KRAI - [DIKEMAS KINI] Pelajar yang berpeluang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi sepatutnya tidak cepat menolak kerana banyak bantuan yang memberi peluang untuk belajar.

Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, banyak inisiatif daripada pihak tertentu yang menyediakan kemudahan untuk pendidikan.

"Kalau ada tawaran, jangan cepat tolak kerana ada inisiatif kebajikan untuk mereka terutama golongan B40," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan tunai di kediaman anak penoreh getah yang juga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Fatin Nur Aqilah Mat Som, 18, di Kampung Chuchoh Puteri pada Isnin.

Syaiful Rizal memberitahu, lebih 6,543 pelajar di seluruh negara menerima manfaat daripada YBR melibatkan lebih RM180 juta dari 2007 hingga Januari lalu.

Jelas beliau, manfaat berkenaan membolehkan ramai pelajar miskin meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, tumpuan utama yayasan berkenaan ialah membantu pelajar membuat persediaan pengajian awal termasuk pembelian kelengkapan di kampus.

"Tahun lalu YBR juga memperuntukkan kira-kira RM500,000 bagi pemberian sumbangan untuk peningkatan sosio ekonomi, pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Syaiful Rizal turut memberitahu, pada masa sama yayasan itu bekerjasama dengan 20 universiti awam melibatkan peruntukan RM100,000 sebagai bantuan awal kepada pelajar.

Sementara itu, Fatin Nur Aqilah nekad untuk meneruskan pengajian di Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra.

Dia sebelum ini menerima tawaran menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka tetapi terpaksa menolak kerana kekangan kewangan.

Pelajar yang kematian bapa sejak empat tahun lalu mahu menemani ibunya Moraini Ismail, 52, bersama adik-beradik lain sebelum meneruskan pengajian di universiti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!