Kini masa untuk bekerja - Fadhlina

Fadhlina - Foto Awani
Fadhlina - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menasihatkan agar semua pihak menumpukan perhatian kepada khidmat untuk negara dan masyarakat, susulan tamat pilihan raya di enam negeri (PRN) Sabtu lalu.

Tegas beliau, wakil rakyat yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing perlu melupakan politik seketika dan teruskan bekerja selepas selesai proses PRN tersebut.

“Kini masa untuk bekerja.

Saya nak bagi satu pantun.

Tik, tik, tik, ja, ja, ja.

Sudah-sudahlah berpolitik, kini masa untuk bekerja,” katanya selepas menghadiri program Eksplorasi Rukun Negara 2023 di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan debat pendidikan dengan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang dibuat Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, pada Ahad.

Syahir mencadangkan satu debat berkaitan isu pendidikan diadakan antara Fadhlina dan ADUN Jitra, Dr Haim Hilman.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan pada program itu, Fadhlina berkata, warga pendidik memainkan penting bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Katanya, guru adalah agen dalam usaha menerapkan semangat perpaduan kepada anak muda, bermula dari bangku sekolah.

"Guru adalah agen perpaduan. Kita boleh lihat bagaimana guru menyampaikan hasrat, impian dan tekad, bagaimana perpaduan patut dilaksanakan di sekolah," katanya.

Program itu diadakan untuk meningkatkan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan Rukun Negara dalam diri murid sekolah dan menjadikannya sebahagian daripada sikap dan tingkah laku mereka bagi mengukuhkan semangat jati dan cintakan negara.

Selain itu, Fadhlina berkata Kelab Rukun Negara akan diperluaskan di semua sekolah termasuk sekolah swasta bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. - Awani