SC beri amaran jangan guna nama, logo tanpa kebenaran

SC memberi amaran kepada orang ramai, khususnya pelabur, tentang penggunaan nama dan logo SC secara tidak sah oleh entiti atau syarikat tertentu dalam bahan promosi untuk produk pelaburan mereka.
SC memberi amaran kepada orang ramai, khususnya pelabur, tentang penggunaan nama dan logo SC secara tidak sah oleh entiti atau syarikat tertentu dalam bahan promosi untuk produk pelaburan mereka.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang ramai, khususnya pelabur, tentang penggunaan nama dan logo SC secara tidak sah oleh entiti atau syarikat tertentu dalam bahan promosi untuk produk pelaburan mereka.

Menurut pengawal selia itu, baru-baru ini, dua syarikat telah dikenal pasti menggunakan nama dan logo SC dalam bahan promosi mereka untuk produk pelaburan amanah tunai tanpa kebenaran.

"Mereka telah diarahkan untuk mengeluarkan sebarang rujukan kepada SC dalam semua bahan promosi yang berkaitan termasuk video,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, SC ingin menekankan bahawa ia tidak meluluskan sebarang produk pelaburan amanah tunai di pasaran.

"Oleh itu, sebarang penggunaan nama dan logo SC dalam bahan promosi pelaburan amanah tunai adalah dilarang.

"SC memandang serius perkara ini kerana tindakan sedemikian boleh mengelirukan orang ramai bahawa SC meluluskan produk amanah tunai,” katanya.

Justeru, katanya SC ingin mengingatkan orang ramai serta syarikat amanah bahawa video mengenai amanah tunai yang dihasilkan oleh SC adalah untuk tujuan pendidikan sahaja.

"Ia tidak bertujuan untuk diterbitkan semula di mana-mana medium oleh syarikat amanah berhubung dengan produk pelaburan amanah tunai mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai amat digalakkan untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan atau maklumat pelaburan yang mengelirukan kepada SC.

"Ini akan membantu melindungi pelabur lain daripada potensi risiko dan membantu mereka dalam membuat keputusan pelaburan termaklum,” katanya.

Pejabat pengguna dan pelabur SC boleh dihubungi di +603 6204 8999 atau melalui e-mel di aduan@seccom.com.my untuk laporan atau pertanyaan. - Bernama