Kekalahan BN beri ruang untuk muhasabah - Rozi

Rozi (kanan) di samping Zawawi ketika penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) bagi DUN Telemung pada 29 Julai lalu.
Rozi (kanan) di samping Zawawi ketika penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) bagi DUN Telemung pada 29 Julai lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kegagalan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kubu paling kukuh parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemung yang dikuasai sejak 60 tahun lalu wajar diteliti dan dinilai bersama.

Penyandang kerusi tersebut, Datuk Rozi Mamat berkata, biarpun tewas dengan bilangan majoriti agak kecil, namun kekalahan itu telah membuka lembaran sejarah baharu kepada parti berkenaan.

"Biarpun keputusan ini tidak memihak kepada kita, ia memberi suatu peluang untuk kita sama-sama bermuhasabah dan melihat akan hikmah di atas setiap yang berlaku," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Ahad.

Menerusi hantaran sama, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemung itu turut memohon maaf dan merakam penghargaan kepada semua yang terlibat sepanjang tempoh kempen yang berlangsung selama dua minggu.

"Terima kasih pada semua pengundi, jentera dan penyokong N21 Telemung, yang bekerja keras berkempen dan mengundi untuk Barisan Nasional.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf jika ada salah dan silap sepanjang tempoh empat penggal saya berkhidmat.

"Segala yang baik itu adalah dari ALLAH SWT dan segala yang buruk itu adalah kelemahan serta kekurangan dari diri saya sendiri,"tulisnya.

Dalam pada itu, Rozi turut merakam ucapan tahniah kepada semua pemenang yang bertanding dan berharap agar dapat menggalas tugas dan tanggungjawab dengan amanah dan adil.

Artikel Berkaitan:

Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos lalu mencipta sejarah apabila julung kalinya kerusi DUN Telemung dimenangi calon Pas, Zawawi Ismail yang menerima 8,085 undi menewaskan Rozi (8,380 undi).

Pas dalam masa yang sama berjaya menyapu bersih semua 32 kerusi DUN Terengganu sekali gus menyaksikan tiada seorang pun wakil dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang dipilih menjadi wakil rakyat di negeri itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, DUN Telemung dimenangi oleh Rozi dengan majoriti 4,159 undi menewaskan calon Pas, Kamaruzaman Abdullah dan calon PKR, Sharifah Norhayati Syed Omar.