Nurul Syazwani fokus soal pendidikan, usahawan DUN Permatang

Nurul Syazwani
Nurul Syazwani
A
A
A

TANJONG KARANG - Anak Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor mahu memberi tumpuan kepada soal kebajikan penduduk.

Nurul Syazwani berkata, tumpuannya selepas ini adalah membantu dari segi meningkatkan mutu pendidikan dan melahirkan lebih ramai usahawan di kawasan tersebut.

"Saya sendiri ingin bawa banyak perubahan terutama kepada golongan muda dan membantu serta mendekati kehendak mereka untuk bersama-sama berganding bahu membangunkan DUN ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Menurut Nurul Syazwani, lebih penting beliau mahu terus bekerja dan menjaga nama baik bapanya yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal.

"Saya berpendapat apabila membawa nama bapa (Noh), ia bukanlah jalan pintas kepada saya, sebaliknya sebagai satu amanah dan tanggungjawab sangat berat.

"Saya kena berusaha untuk sekurang-kurangnya sehebat beliau atau mahu lebih baik daripada beliau untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat di sini," jelas beliau.

Nurul Syazwani berkata, beliau mahu terus bekerja dan menjaga nama baik bapanya yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal.
Nurul Syazwani berkata, beliau mahu terus bekerja dan menjaga nama baik bapanya yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal.

Mengulas mengenai kejayaan beliau dalam PRN Selangor, Nurul Syazwani yang juga Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang memberitahu, rakyat kini sudah matang dan menilai parti yang ikhlas untuk menjadi 'suara' mereka pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

"Dulu Tanjong Karang menjadi kubu kuat BN (Barisan Nasional), tetapi kini sudah beralih kepada PN (Perikatan Nasional) dan saya ingin memastikan di Parlimen Tanjong Karang terus kekal kepada PN.

"Saya beranggapan kemenangan ini tidak boleh disia-siakan kerana ia sebagai amanah dan tanggungjawab berat untuk membantu dan membela rakyat," jelas beliau.

Nurul Syazwani memenangi kerusi DUN Permatang selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Yahya Mat Sahri dengan majoriti 1,728 undi.

Beliau mendapat 12,850 undi manakala Mohd Yahya memperoleh 11,122 undi.