'Baju raya anak saudara hangus'

Suasana ketika api sedang marak membakar deretan rumah di Kampung Sungai Pak Kalong. FOTO - PEMBACA SINAR HARIAN
Suasana ketika api sedang marak membakar deretan rumah di Kampung Sungai Pak Kalong. FOTO - PEMBACA SINAR HARIAN
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang kakitangan Hospital Teluk Intan (HTI) tidak menyangka baju raya yang baru dibelinya beberapa hari lalu untuk anak-anak saudaranya di kampung hangus selepas rumahnya di Kampung Sungai Pak Kalong, terbakar tengah hari tadi.

Puziyah Mohamad yang bekerja di Jabatan Farmasi HTI berkata, ketika kejadian dia sedang memberi penerangan kepada pelajar di jabatan berkenaan sebelum menerima panggilan daripada kakaknya.

"Saya lihat kakak saya menelefon beberapa kali lalu saya angkat, dia kemudiannya meminta saya segera balik kerana rumah saya sedang terbakar bersama beberapa buah rumah yang lain.

"Masa itu hanya ALLAH SWT yang tahu bagaimana perasaan saya dan tanpa fikir banyak saya terus balik untuk lihat keadaan rumah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Pak Kalong, Jalan Maharajalela di sini hari ini.

Mohd Azhar (tengah) sedang berbual dengan Puziyah dihadapan rumah Puziyah.
Mohd Azhar (tengah) sedang berbual dengan Puziyah dihadapan rumah Puziyah.

Menurutnya, apabila tiba di rumah, dia melihat anggota bomba sedang memadam kebakaran dan dia tidak dapat menyelamatkan baju raya yang dibeli untuk anak-anak saudaranya.

"Di bulan mulia ini ALLAH SWT uji saya dan saya reda tetapi sedikit sebak memikirkan baju raya anak-anak buah yang saya belikan dengan tujuan untuk menggembirakan mereka sudah tiada," katanya.

Puziyah berkata, dia tidak menyangka rumahnya antara tujuh yang terlibat dalam kebakaran kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa puluh tahun dahulu kawasan ini pernah berlaku kebakaran membabitkan deretan rumah berhadapan rumah saya dan sekarang barisan rumah kami pula.

"Saya sebenarnya bercadang ubah suai atap rumah saya dengan kos RM42,000 tetapi Alhamdulillah ia belum dilaksanakan kalau tidak pasti sudah habis terbakar," katanya.

Satu daripada tujuh rumah terbakar dalam kejadian di Kampung Sungai Pak Kalong hari ini.
Satu daripada tujuh rumah terbakar dalam kejadian di Kampung Sungai Pak Kalong hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azroisan Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 12.30 tengah hari dan bergegas ke lokasi.

"Setibanya anggota di lokasi yang terletak di Jalan Maharajalela, kami mendapati tujuh daripada 13 unit rumah teres kelas B berkeluasan 20x70 terbakar 70 peratus.

"Anggota segera melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran hos dari tangki jentera sehingga api dipadamkan sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, api dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan BBP Hutan Melintang, BBP Bidor dan Pasukan Bomba Sukarela Teluk Intan sebelum operasi ditamatkan jam 4.06 petang.

Terence Naidu (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan segera kepada mangsa kebakaran
Terence Naidu (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan segera kepada mangsa kebakaran

Sementara itu, Adun Pasir Bedamar, Terence Naidu berkata, pihaknya akan memberi bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat.

"Saya amat bersimpati dengan mangsa apatah lagi terdapat mangsa beragama Islam yang bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

"Sumbangan serta-merta diberikan kepada semua bangsa dan bantuan kebakaran yang seterusnya akan saya peruntukkan sebaik segala urusan dokumentasi selesai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa bersama Adun Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin di sini hari ini.