PSG lesu tanpa Mbappe

Pemain PSG melangkah lesu setelah sekadar seri tanpa jaringan dengan Lorient di Paris pada Ahad. - Foto EPA
Pemain PSG melangkah lesu setelah sekadar seri tanpa jaringan dengan Lorient di Paris pada Ahad. - Foto EPA
A
A
A

TANPA kelibat Kylian Mbappe memberi tempias kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam misi mempertahankan kejuaraan Ligue 1 apabila sekadar seri tanpa jaringan di laman sendiri menentang Lorient awal pagi Ahad.

Penyerang sensasi itu sekadar menjadi penonton dari tempat duduk selepas isu kontraknya belum selesai.

Selepas musim panas menyaksikan perubahan di Parc des Princes apabila terdapat banyak muka baharu, pemergian Lionel Messi selain kisah Mbappe terus menjadi tumpuan utama.

Mbappe dilihat duduk bersama rakan pemenang Piala Dunia 2018, Ousmane Dembele yang melengkapkan perpindahannya dari Barcelona.

Jurulatih PSG, Luis Enrique merehatkan Dembele sebaliknya memberi kepercayaan kepada enam pemain baharu melakukan penampilan sulung mereka.

Goncalo Ramos memimpin jentera serangan bersama Marco Asensio dan Lee Kang-in, manakala Milan Skriniar dan Lucas Hernandez memperkuatkan barisan pertahanan dan pemain Uruguay, Manuel Ugarte beraksi bahagian tengah.

Neymar terlepas aksi pembukaan kerana jangkitan virus dan PSG dilaporkan terbuka untuk menjualnya serta seorang lagi pemain Brazil, Marco Verratti sekiranya memperoleh tawaran terbaik.

Mbappe enggan menandatangani lanjutan kontrak bersama PSG sekali gus bermakna dia boleh meninggalkan kelab itu secara percuma tahun depan, dengan Real Madrid sudah lama dilihat sebagai destinasi pilihannya.

Artikel Berkaitan:

PSG mahu segera menjualnya dan mendapatkan bayaran perpindahan yang tinggi untuk pemain itu yang menelan belanja 180 juta euro (RM906.3 juta) dari Monaco pada 2017.

Enrique yang ditemui media enggan mengulas mengenai Mbappe.

“Saya tiada apa-apa hendak diperkatakan mengenai perkara itu,” katanya.

Enrique sebelum ini berharap isu kontrak Mbappe dapat diselesaikan segera ketika pemain itu tidak dibenarkan berlatih bersama pasukan utama.